Berat Badan Yasin Sulaiman Susut Sebab Tiroid, Nafi Penjara Tak Bagi Makan

Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman mendedahkan dia kini menghidap penyakit tiroid ketika berada di penjara.

Memetik laporan Harian Metro, Yasin menafikan dia tidak diberi makan secukupnya disebabkan dia mengalami penurunan berat badan.

“Seperti semua dapat lihat, saya kurus sekarang. Semasa masuk penjara dulu berat badan saya 66 kilogram dan sekarang 48 kilogram.

“Saya tidak mahu ada orang berandaian penjara tidak beri makan. Penjara banyak makanan sehingga melimpah ruah dan sebenarnya ramai saja banduan yang gemuk.

“Saya derita tiroid selama lima bulan tapi Alhamdulillah dengan bantuan dan pertolongan pihak penjara, saya mendapat ubat-ubatan serta menjalani rawatan susulan setiap bulan,” katanya.

Dalam pada itu, peguam bela Yasin, Ariff Azami Hussein berkata, keadaan kesihatan terkini anak guamnya itu akan turut dimasukkan ke dalam dokumen representasi keempat, yang bakal difailkan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau berkata, kandungan lanjut representasi itu tidak boleh didedahkan, tetapi ia bertujuan memohon pihak pendakwaan mengkaji semula dan mempertimbangkan terma munasabah bagi kepentingan Yasin serta kepentingan awam.

“Kita (pembelaan) tidak meminta sesuatu yang luar biasa atau ‘miracle’ tapi yang ada asas dan boleh dibenarkan undang-undang.

“Kita tetap yakin walaupun ditolak kali ketiga, kita akan masukkan lagi yang keempat mungkin dengan sedikit perubahan terma.

“Kita tetap optimis kes ini boleh diselesaikan tanpa melalui perbicaraan kerana Yasin adalah kategori tertuduh unik kerana seorang pesakit dan boleh diberikan peluang,” katanya.

Pelantun lagu Mimpi Laila itu didakwa menggunakan dadah jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada 11.05 malam, 24 Mac 2022.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan daripadanya kanabis, di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, pada 5.30 petang, tarikh sama.

Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 ADB dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dipenjara seumur hidup serta sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Sumber: Harian Metro

Khairil Khusyairi