Berbadan Sasa, Norman Hakim Nafi Ambil Ubat Steroid

Terkenal dengan tubuh yang sasa, pelakon Norman Hakim menegaskan dirinya tidak mengambil ubat steroid untuk bina badan.

Menurutnya, dia tidak memerlukan ubat steroid kerana aktiviti kecergasan itu sudah menjadi rutin hariannya.

“Steroid ni pilihan masing-masing. Saya seorang pelatih yang bertauliah tapi saya tak ajar orang hanya untuk pengetahuan saya sendiri.

“Jadi steroid ni macam nak hasil yang cepat. Contohnya, seseorang ni nak buat filem atau nak masuk pertandingan bina badan dan dia ambil sebab nak dapat hasil yang segera.

“Kalau macam saya, saya tak perlukan benda tu sebab saya hari-hari dah buat. Saya bukan buat untuk pertandingan ke atau filem dan sebagainya,” katanya.

Susulan perkara itu, Norman memberitahu mahu meneruskan gaya hidup yang cergas ini secara semula jadi sehingga ke hari tua.

“Saya nak bawa gaya hidup ni sampai umur 60, 70 malah ke 80 tahun. Jadi kalau boleh benda tu biar datang melalui pemakanan.

“Macam isteri saya kaki masak dan saya minta dia masak seperti cara yang saya nak semua. Jadi benda tu sangat-sangat membantu seperti satu pasukan.

“Anak-anak pun sekarang ikut jejak langkah sebab dekat rumah guna barang-barang yang organik,” ujarnya semasa ditemui di majlis pelancaran dan pelantikan duta produk baru, Ecolite, semalam.

Menurut Norman, dia berbesar hati untuk menjadi duta bagi produk terbabit.

Katanya, sebagai selebriti, kerjayanya memerlukan Norman untuk bekerja dalam masa yang panjang dan waktu yang tidak boleh dijangka serta memainkan peranan sebagai bapa dan suami.

“Saya menerima untuk menjadi duta jenama produk ini kerana saya telah mengambil Ecolite Waist Tonic untuk masa yang lama.

“Bukan sahaja sakit pinggang dan lutut saya bertambah baik, malahan tenaga keseluruhan saya juga meningkat dengan ketara,” katanya.

Maya Basir