Bertunang Dengan Jejaka 6 Tahun Lebih Muda, Reen Rahim Bakal Kahwin – “Anjur 3 Majlis, Tajaan RM15 Juta”

Pelakon Reen Rahim, 34, mengumumkan akan menamatkan zaman bujangnya dalam masa yang terdekat dengan jejaka yang dikenali sebagai Mr H, 28.

Menurut Reen, dia masih belum bersedia untuk berkongsi tarikh dan identiti jejaka yang lebih muda daripadanya itu kerana risau akan penyakit ‘ain’.

Pelakon 7 Hari Mencintaiku ini memberitahu dia sudah berkenalan dengan jejaka tersebut selama dua tahun dan pada asalnya, mereka berdua tidak ada hasrat untuk berkahwin.

“Kami berdua masing-masing memang ‘anti-kahwin’ dan memang tak ada komitmen untuk kahwin tapi masa tu memang kami saling menyukai antara satu sama lain.

“Tapi mungkin doa ibu dan keluarga saya membuatkan kami terbuka hati untuk ke arah yang lebih serius,” ujarnya.

Reen ditemui semasa di majlis pengumuman perkahwinannya yang bertempat di Irama Dining, Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Berkongsi tentang persiapan perkahwinannya, Reen meluahkan rasa syukur mendapat tajaan sebanyak RM15 juta bagi penganjuran tiga majlis.

“Kalau boleh saya nak buat satu majlis saja, tapi memandangkan ada pihak yang sudi menaja, kami memutuskan untuk menganjurkan tiga majlis iaitu malam berinai, akad nikah dan resepsi.

“Semua majlis ini akan diuruskan oleh sahabat-sahabat saya kerana mereka tidak mahu menyusahkan saya. Mereka hanya mahu saya gembira pada majlis itu nanti,” katanya.

Terdahulu, Reen sudah mengikat tali pertunangan dengan jejaka 28 tahun itu pada Ogos lalu namun merahsiakan hal tersebut atas permintaan keluarga.

Maya Basir