“Betapa Jijiknya Kita Kalau Masih Merungut Tentang…” – Azhan Rani Sedih Penduduk Pedalaman Masih Tak Dapat Bantuan Banjir

Pelakon Azhan Rani yang juga merupakan seorang individu aktif membantu mangsa-mangsa terjejas banjir berkongsi pengalaman berjumpa dengan seorang mangsa banjir yang hilang tempat berteduh di Kampung Batu Kapor, Mentakab, Pahang.

Melalui hantaran Instagram miliknya, Azhan berkata ketika kejadian, dia bersama pasukannya baru sahaja sampai di kawasan yang agak jauh dari rumah-rumah yang lain dan mempunyai banyak kerosakkan.

Semasa dia bergerak untuk meletakkan kereta, dia ternampak seorang wanita yang berlari berkaki ayam tanpa menghiraukan apa yang dipijak.

“Rumah dia dekat belakang lagi dari kawasan becak itu. Mungkin dia ingat kami nak pergi dah sebab memang dah tak nampak jalan ke rumah dia pun,” tulis Azhan.

Difahamkan setakat hari Isnin, belum ada bantuan yang sampai di kawasan itu.

Menurutnya, kediaman wanita itu terletak amat dekat dengan sungai dan rumah kayunya habis musnah dibawa arus banjir.

Namun, yang tinggal hanya bahagian depan rumah yang masih tegak berdiri.

“Makcik redah air paras dada masa nak selamatkan diri hari itu. Harta benda tak ada yang dapat diselamatkan.

“Memikirkan apa dia makan, macam mana dia tidur memang boleh buatkan saya termenung,” tulis Azhan.

Pelakon drama Keluarga Untuk Disewa ini berharap akan ada lebih banyak bantuan yang hadir untuk penduduk di sini.

 

“Masuklah ke lorong-lorong kampung. Mereka tak ada kemampuan nak keluar cari pusat bantuan yang banyak terletak di tepi jalan-jalan besar ataupun di sebelah bandar,” tulisnya lagi.

Azhan akhiri hantarannya itu dengan mesej supaya mereka diberi bantuan dan kasih sayang.

Perkongsiannya itu turut membuatkan beberapa rakan artis seperti Catriona Ross dan peminat sebak.

Arfah