“Biar Masa & Jodoh Menentukan…” – Shila Amzah Bakal Jumpa Ibu Selepas Isu ‘Panas’ Reda

Penyanyi Shila Amzah memutuskan untuk berdiam diri selepas kontroversi yang melanda dirinya dan keluarga.

Menurut Shila, dia percaya setiap kemelut yang berlaku termasuk hal yang melibatkan keluarganya ini memerlukan masa untuk reda.

“Saya hanya boleh doa supaya perkara ini dapat reda secepat mungkin. Saya tidak berani hendak cakap lebih sebab ini hal keluarga.

“Alhamdulillah, walaupun dengan apa yang berlaku ketika ini, saya masih dikelilingi individu yang membuatkan saya terus kuat.

“Suami (Ubai) juga tidak pernah buat saya seolah-olah keseorangan,” ujarnya semasa ditemui di sidang media selepas konsert minggu pertama Famili Duo 3, baru-baru ini.

Disoal tentang hubungan ‘dingin’ bersama ibu iaitu Fauziah Sarman, pelantun lagu Patah Seribu ini menunggu waktu yang sesuai untuk berjumpa dengannya.

“Sudah tentu saya akan berjumpa (ibu), cuma bila, biarlah masa dan jodoh menentukan. Jadi, harapnya semua dapat doakan yang terbaik,” jelasnya.

Terdahulu, Syada mendakwa dia dan adik-adik lain terpaksa keluar daripada rumah banglo milik Shila kerana bakal dijual.

Adik lelakinya, Amir Syafiq juga tampil mendakwa kakaknya berniat jual rumah demi wang semata-mata.

Bukan itu sahaja, ibu mereka turut memberi kenyataan tidak lagi menganggap Shila sebagai seorang anak kerana terguris hati didakwa dimaki olehnya.

ARTIKEL BERKAITAN:

ARTIKEL BERKAITAN:

Dalam pada itu, enam pasangan telah diumumkan bertarung di pentas Famili Duo 3 iaitu selain Shila Amzah & Syahir Amzah (adik-beradik) adalah pasangan Adira & Emma Suhaimi (adik-beradik), Fuad Rahman & Tom (suami isteri), Ryan Bakery & Adam Bakery (adik-beradik), Haqiem Rusli & Ariff Bahran (sepupu), Sharif & Syaiful (adik-beradik).

Famili Duo 3 ini dibawakan khas oleh penaja utama OGAWA, penaja bersama Elegant Cosmetics, dan rakan penaja Centrum Multivitamin. Turut memeriahkan musim ini adalah OhBulan! dan XTRA sebagai Famili Digital, serta Hot FM sebagai Famili Radio.

Musim terbaharu yang lebih menyengat ini diterajui oleh Russell Mark Rodrigues sebagai pengurus projek, Muhamad Sufian Che Isa sebagai penerbit eksekutif dan Noradillah Binti Abdullah sebagai penerbit.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, jangan lupa ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia serta TikTok @TV3MalaysiaOfficial.

Maya Basir