Bimbang Hati Berbolak-Balik, Anzalna Nasir Enggan Kongsi Kisah Hijrah – “Ini Antara Saya Dengan Tuhan Bukan Dengan Manusia”

Pelakon Anzalna Nasir enggan terlalu berkongsi mengenai fasa penghijrahannya kerana bimbang apa yang bakal terjadi pada masa hadapan kelak.

Menurut Anzalna atau nama sebenarnya, Nur Anzalna Mohd Nasir, 35, dia sering berfikir mengenai ujian yang bakal dihadapi kerana takut ia mampu membuatkan hatinya berbolak- balik.

“Saya tidak mahu ulas mengenai penghijrahan ini disebabkan saya tidak tahu apa yang bakal terjadi pada masa hadapan.

“Sebab ini antara saya dengan Tuhan, bukan dengan manusia.

“Sejujurnya, sukar untuk istiqamah selepas berhijab sejak dua tahun lalu. Cuma, saya berdoa boleh kekal berhijab sampai bila-bila,” katanya.

Justeru, dia berharap peminat dapat mendoakannya untuk kekal menutup aurat dan berimej muslimah.

Dalam pada itu, Anzalna tetap bersyukur kerana walaupun kini membawa imej wanita muslimah, namun tawaran lakonan masih banyak diterima sekaligus membuatkan dia perlu mengehadkan beberapa perkara.

“Saya bersyukur rezeki dalam bidang lakonan tidak pernah putus. Saya tetap menerima banyak tawaran tapi saya lebih utamakan keluarga.

“Suami tidak menghalang dan sentiasa memberi sokongan terhadap apa yang saya suka lakukan termasuk lakonan.

“Saya perlu pilih karakter bersesuaian dengan imej. Saya sudah tidak boleh berlakon seperti dahulu atau lebih lagi kerana sudah mempunyai dua cahaya mata.

“Saya juga tidak boleh ambil tawaran lakonan dengan episod panjang kerana sudah berkeluarga. Apabila tengok adik saya, Afiffah Nasir berlakon, memang terasa rindu sebenarnya,” jelasnya.

Untuk rekod, Anzalna mendirikan rumah tangga bersama Hanif Zaki pada 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Mohamad Eidress, 2, dan Mohamad Emirhan, 11 bulan.

 

Sumber: Berita Harian

Salma Syahbuddin