“Bukan Kami Yang Buang Tapi…” – Noki Sahkan Tuju ‘Angkat Kaki’ Dari K-Clique

Baru-baru ini, anggota kumpulan K-Clique, Noki memaklumkan bahawa Tuju yang juga merupakan anggota kumpulan itu telah meninggalkan band hip hop tersebut dengan rasminya.

Memetik laporan Harian Metro, Noki atau nama sebenarnya Ahmad Ikhwan Aji menegaskan bahawa Tuju membuat keputusan untuk meninggalkan K-Clique adalah atas kemahuan sendiri ketika di temu bual oleh sebuah program televisyen.

“Betul… Tuju memang sebenarnya sudah keluar dari kumpulan K-Clique. Saya rasa sudah tiga atau empat bulan kalau tidak silap.

“Bukan kami yang buang sebaliknya kehendak Tuju sendiri. Mungkin dia mahu fokus kepada jenama Tuju Loca dan keluarganya.

“Saya akhirnya membuka mulut kerana setiap kali kami memuat naik video atau gambar, pasti ada peminat yang tertanya-tanya di ruangan komen,” ujar Noki.

Bukan itu sahaja, Noki turut berkesempatan mengulas mengenai single BKNR yang dikeluarkan oleh Tuju dan Loca B yang didakwa menyindir K-Clique.

“Berkenaan lagu terbaru yang dilancarkan oleh Tuju dan Loca B itu, saya mengambil pendekatan untuk tidak memberikan sebarang komen. Kami fokus buat diri sendiri dan perjalanan kerjaya kami.

“Bagi saya, lagu itu sebuah karya yang baik dan jika niat mereka untuk memajukan nama mereka dalam industri, maka teruskan kerana kami sentiasa sokong kerjaya mereka.

“Namun, sekiranya niat mereka hendak ‘diss’ (menyindir) kami dalam lagu, terpulang kepada mereka. Ini kerana kami tidak mengeluarkan sebarang komen berhubung isu itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada mereka,” jelasnya lagi.

K-Clique didakwa mempunyai perselisihan faham antara anggota apabila Tuju dilihat tidak ikut serta dalam persembahan di Konsert Havoc Midnight di Shah Alam pada September lalu, namun kontroversi tersebut dinafikan oleh MK.

Untuk info, kumpulan hip hop yang terkenal dengan lagu Mimpi itu dianggotai oleh lapan orang pemuda yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah iaitu MK, Noki, Tuju, Somean, KDeaf, FareedPF, Gnello dan NastyNas.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari