“Bukannya Saya Ada Suami Untuk Dijaga..” – Uqasha Senrose Tak Cerewet

Pelakon jelita Uqasha Senrose bersyukur kerana tetap menerima tawaran lakonan dan sentiasa murah rezeki walaupun sering dihambat kontroversi sepanjang hampir sedekad dalam dunia hiburan. 

Memetik laporan BH Online, Uqasha mendakwa jadual kerjanya begitu padat terisi sehingga ke tahun depan dengan undangan lakonan yang tidak putus-putus, sama ada drama mahupun filem.

“Jika diikutkan, ia memang memenatkan.  Namun, saya percaya semua kerja pasti memberikan cabaran tersendiri.  Begitu juga dengan lakonan. 

“Saya pula amat bersyukur kerana sentiasa dikurniakan rahmat dan rezeki. Kalau saya tida bekerja, apa pula saya nak buat? Lainlah kalau ada suami dan anak yang perlu dijaga.

“Jadi, selagi ada kudrat, saya akan terus bekerja.  Saya pula tidak boleh terlalu memilih kerana industri seni kita bukannya besar sangat,” katanya kepada BH Online.

Walaupun dilimpahi dengan tawaran lakonan, Uqasha berkata dia masih perlu melihat skrip yang dihulurkan pihak produksi sebelum menerima tawaran tersebut. 

“Saya kena juga lihat pada skrip yang dihulurkan.  Saya tidak boleh terima dengan begitu sahaja apa juga tawaran yang datang.  Pada masa sama, saya bukanlah terlalu cerewet. 

“Jika ada rezeki yang baik di depan mata, saya terima dengan lapang dada.  Saya masih berpijak di bumi nyata.  Selagi sesebuah cerita itu tidak menampakkan saya terlalu ‘bodoh’ dan penonton pun akan suka, saya pasti tiada masalah menjayakannya. 

“InsyaAllah, pada tahun depan sudah ada tawaran berlakon drama rantaian yang harus saya penuhi,” kata kakak kepada Nelydia dan Rayza Rizrose itu. 

Terdahulu Uqasha baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem, Sumpahan Jerunai selama dua bulan di Sarawak baru-baru ini. 

Di dalam filem ini, Uqasha digandingkan dengan pelakon popular, Syafie Naswip dan keakraban mereka menjadi buah mulut netizen apabila Syafie memuatnaik video mereka berdua sedang ‘lip sync‘ lagu-lagu popular Bollywood sementara menunggu rakaman babak seterusnya. 

Baca: Syafie Naswip ‘Move On’ Dengan Uqasha?

Kredit Foto: Instagram @uqashasenrose2

Del14