Daiyan Trisha Jelajah Asia Tenggara Bersama Sam Tsui

Penyanyi dan pelakon Daiyan Trisha binti Mohd Nasaruddin merasa bertuah dapat bersama-sama dengan penghibur kelahiran Amerika Syarikat, Sam Tsui menjelajah Asia Tenggara untuk menjayakan konsertnya dan berharap ia dapat menjadi batu loncatan untuk dia melangkah lebih jauh di dalam bidang muzik. 

Berpeluang menjadi artis yang mengisi slot pembukaan konsert Sam Tsui sejak 17 November lalu menjadi pengalaman yang berharga buat Daiyan dan dia lebih bersemangat untuk meneruskan karier di dalam industri seni suara dan berkongsi karya dengan peminat di luar negara.

“Syukur kerana saya diberi kepercayaan beraksi bersama Sam Tsui yang meninggalkan 1,001 pengalaman manis dalam kerjaya seni saya.

“Berdepan penonton dan bertemu ramai kenalan baharu di negara yang dikunjungi adalah sesuatu yang mengujakan.

“Sepanjang dua minggu pengembaraan di enam destinasi bermula di Singapura pada 17 November lalu, saya dapat menimba pengalaman, ilmu dan menyegarkan minda untuk mencari ilham,” katanya kepada BH Online. 

Selain Singapura, penyanyi Ku Tahu itu menjadi persembahan pembukaan untuk Konsert The Gold Jacket Tour Sam Tsui di Jakarta, Taipei, Bangkok, Manila dan Kowloon di Hong Kong. 

Kredit Foto: Instagram @daiyantrisha
Del14