Dakwaan Disogok RM5 Juta, Polis Bakal Rekod Keterangan Farid Kamil

Susulan kenyataan pengarah dan pelakon Datuk Farid Kamil Zahari menerusi sebuah rancangan untuk program tv Al-Hijrah baru-baru ini, dia akan dipanggil oleh pihak Polis untuk memberi kenyataan.

Menerusi program bual bicara berkenaan, Farid mendakwa dirinya disogok wang berjumlah RM 5 juta oleh Kerajaan terdahulu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat memaklumkan Farid akan dipanggil dalam masa terdekat bagi merekodkan keterangannya.

“ Dia akan dipanggil bagi merekodkan keterangannya. Pihak Polis menerima satu laporan di Balai Polis Kota Damansara semalam daripada seorang lelaki berusia 43 tahun yang menjadi wakil kepada Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam.

“Laporan itu mengatakan bahawa Farid sengaja mereka cerita untuk menjatuhkan imej Perdana Menteri ketika itu (Datuk Seri Najib Razak),” katanya.

Pengadu juga memaklumkan jika benar dakwaan Farid itu, mengapa aduan tidak dibuat ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Fadzil berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana melakukan tohmahan atau fitnah.- BH Online.

SGMS Faida