Dakwaan Khianat Sahabat Sendiri, Erra Fazira Tampil Mohon Maaf

Spekulasi dan persoalan mengenai luahan perasaan pelakon Datin Seri Umie Aida yang merasakan dirinya dikhianati sahabat baik sendiri akhirnya lebih jelas apabila Erra tampil memuatnaik status di Instagram Story berhubung perkara itu.

Erra atau nama penuhnya Fazira Wan Che, 45 membuat permohonan maaf secara terbuka kerana telah menyakiti sahabat baiknya itu buat kali ketiga.

“Kepada semua, saya mohon maaf diatas segala apa yang terjadi. Saya manusia biasa yang ada buat salah dan pernah menyakiti hati teman saya, Datin Seri Umie Aida.

“Umie pernah memaafkan saya sebelum ini dan saya telah mengecewakan dia buat kali ketiga. Umie memendamkan perasaan ini dan dia juga pernah mesej secara peribadi pada saya dengan baik,” tulisnya.

Tambah pelakon filem Polis Evo 2itu, dia berharap pengakuan itu dapat menghentikan perbalahan semua pihak termasuklah netizen.

Dalam pada itu, Erra berkata, apa yang terjadi memberi pengajaran besar padanya dan akan memperbaiki kesilapan diri pada masa akan datang.

“Umie tiada bukti, dia tak akan bersuara. Saya harap dengan pengakuan ini, hentikan perbalahan semua ya.

“Saya belajar kesilapan saya dan saya baiki kekurangan saya. Ternyata saya banyak kekurangan dan saya harus terus baiki diri.

“Saya mohon maaf sekali lagi pada semua juga Umie,” tulisnya.

Terdahulu, Umie menimbulkan persoalan pelbagai pihak apabila dia meluahkan perasaan di Instagram bahawa dirinya dikhianati sahabat baiknya.

Walaupun tidak menyebut siapakah gerangan orang yang dimaksudkan, ramai yang dapat mengagak, Erra adalah individu yang dimaksudkan Umie, lebih-lebih lagi apabila mereka tidak mengikuti Instagram masing-masing.

SGMS Faida