Joey BPR Kemalangan Patah Tulang Rusuk

Penyanyi kumpulan Bumiputra Rockers (BPR), Joey dilaporkan mengalami patah empat tulang rusuk akibat nahas motosikal di Lebuh Raya Lingkaran Tengah II (MRR 2), semalam.

Joey memberitahu melalui perkongsian di laman Facebooknya, berkata nahas itu berlaku di hadapan stesen minyak Shell.

“Aku baru kemalangan, depan Shell MRR2. Motor patah depan. Kini aku dalam kesakitan,” kongsinya.

Susulan nahas itu, Joey turut mengalami patah empat tulang rusuk.

“X- ray tunjuk empat batang tulang rusuk aku patah. Sama macam arwah Saleem. Sakit ya amat, bila batuk, bersin, menguap atau ketawa,” tulisnya lagi.

Berdasarkan gambar yang dikongsi, Joey sudah pun mendapatkan rawatan awal di Hospital Ampang.

Dalam pada itu, dalam status Facebook terkini yang baru dimuat naik, Joey memohon maaf kerana terpaksa menolak permintaan orang ramai yang mahu menziarahinya.

“Harap maaf, ramai nak datang melawat. Tapi aku dalam keadaan tak selesa. Bagilah aku sedikit ruang. Tidur pun tak cukup ni akibat menahan sakit,” katanya lagi.

Oleh: Endy Ashaari

SGMS Fas