Dakwah Cara Anak Muda, Da’i Adam Mahu Kerap Turun Padang

“ Niat saya ke uji bakat pencarian Da’i pada mulanya adalah sekadar menemani kawan baik tetapi tak sangka pula…Alhamdulillah, rezeki dari Allah SWT untuk saya,” kata Da’I Adam yang terkejut dengan kemenangannya pada malam itu.

Anak kelahiran Ranau, Sabah ini membawa topik ‘Bangkit Anak Muda’ pada pusingan pertama manakala ‘Saya Mualaf’ di pusingan kedua.

“ Sebelum naik ke pentas akhir, saya turut bertanya kepada kenalan yang seumur dengan saya untuk tajuk sesuai yang saya sampaikan.

“ Ternyata topik ini dekat dengan hati penonton yang rata-ratanya adalah golongan belia.

“ Jika diberi peluang untuk mengacara sesebuah program, saya memilih program untuk mendekati belia di luar sana dan memperbanyakkan aktiviti turun padang untuk berdakwah. Insya Allah jika diizinkan-Nya, doakan agar segalanya dipermudahkan,” katanya kepada xtra.com.

Pemuda berusia 26 tahun ini muncul sebagai juara program Da’i Pendakwah Nusantara musim keenam yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, jumaat lalu sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah RM60,000 berserta trofi dan tiket umrah untuk dua orang tajaan Almas Beauty & Health.

Dua lagi peserta yang berjaya ke peringkat akhir iaitu Da’i Imran Mohd Zaki dan Da’i Haziq Safwan Norazman masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dalam pertandingan berkenaan.

SGMS Faida