Dedah Terkena Sihir Pemisah, Bella Astillah & Aliff Aziz Mahu Teruskan Hidup Seperti Biasa

Pelakon dan penyanyi Bella Astillah mendedahkan dia dan suaminya, Aliff Aziz terkena sihir pemisah rumah tangga yang didakwa telah dihantar oleh seorang wanita.

Menurut Bella, sihir tersebut dihantar dengan niat untuk melihat hubungannya bersama Aliff berantakan.

“Sebenarnya terlalu berat untuk saya ceritakan. Tapi, menurut kata ustaz yang merawat itu adalah sihir pemisah rumah tangga. Hubungan saya dengan Aliff juga jadi tak okay disebabkan perkara itu.

“Tapi Alhamdulillah, sudah ada perubahan selepas kami berubat. Saya juga bersyukur sebab Aliff pun terbuka hati untuk ikut berubat sebab ramai pasangan yang terkena perkara sebegini enggan untuk berubah,”katanya.

Perkongsian tersebut telah didedahkan oleh Bella ketika ditemui di sidang media Family Duo Musim Terbaharu sekitar Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Bella juga sempat berkongsi tentang gangguan-gangguan yang dialami mereka sekeluarga dengan antaranya mimpi buruk.

“Saya pun ada mimpi ular. Tetapi Aliff alami mimpi yang lebih buruk seperti saya bawa balik lelaki dalam rumah dan nampak saya bergaduh dengan lembaga hitam.

“Tetapi, selepas episod hitam itu berakhir, saya dan Aliff kini lebih berinisiatif untuk memperbaiki diri masing-masing. Mungkin ada kekhilafan saya juga.

“Terima kasih kepada Aliff yang sentiasa ada di sisi saya selain sering memberikan sokongan moral. Kami sedar, kami perlu kuat untuk pertahankan rumah tangga kami,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya Tak Boleh Maafkan” – Kerap Mimpi Ular, Bella Astillah Jadi Mangsa Ilmu Hitam Sehingga Dirinya Jatuh Sakit?

Selain mengambil perkara tersebut sebagai iktibar, penyanyi itu turut mengambil pendekatan untuk mengurangkan perkongsian tentang keluarga di media sosial.

“Kami anggap ini ujian dan mungkin ini teguran untuk saya juga untuk mengurangkan membuat perkongsian di media sosial. Saya juga ingin meminta maaf sangat-sangat jika ada mana-mana pihak yang tidak selesa dengan perkongsian saya di media sosial selama ini.

“Selepas ini saya akan lebih berhati-hati dalam berkongsi tentang keluarga di media sosial,”katanya.

Tambah Bella, Aliff juga telah menasihatkannya untuk tidak mencari asal atau dalang di sebalik dugaan ini selain mahu meneruskan kehidupan seperti biasa.

Terdahulu, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 namun bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula ketika dalam tempoh edah.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan Mohammad Ayden Adrean,5, dan Ara Adreanna,2.

Fatin Nurain