‘Dia Bawa Kegembiraan Berbeza’- Alif Satar

“Dia bawa kegembiraan berbeza dalam keluarga kami,” kata penyanyi Alif Satar mengenai anak bongsunya, Muhammad Ali yang lahir pada 19 September lalu.

Kongsi lelaki berusia 29 tahun ini, dia bersyukur dikurniakan anak lelaki pertama dalam keluarganya.

“Dalam generasi ketiga dia menjadi anak lelaki pertama. Adik beradik ibu saya semuanya perempuan dan sepupu saya juga semua perempuan. Manakala, adik-beradik saya juga semua perempuan, sama juga anak saudara saya.

“Saya satu-satunya anak lelaki. Jadi, kelahiran Muhammad ‘Ali menjadi anak cahaya mata lelaki yang ditunggu-tunggu ramai sejak sekian lama,” katanya kepada Xtra.

Lebih istimewa, Ali dilahirkan pada hari ulang tahun Alif iaitu pada 19 September. 

“Ali lahir sama dengan tarikh hari jadi saya. Pada hari itu saya sudah tak fikir apa selain melihat isteri saya bertarung nyawa dan menantikan anak saya dilahirkan.

“Tepat pukul 11.21 malam, Ali dilahirkan secara normal namun dimasukkan dalam Unit Rawatan Rapi selama lima hari kerana demam kuning,” katanya.

Muhammad Ali dilahirkan dengan berat 3.54 kilogram di Hospital Pantai, Bangsar. 

Alif dan Shadila telah berkahwin pada 15 September 2014.

Hasil perkahwinan itu, pasangan ini sudah dikurniakan dua orang puteri bernama Alisha Anugerah dan Ariana Mecca.

SGMS Faida