“Dia Bukan Jenis Gilakan Duit” – Diana Danielle Terkejut Tindakan Farid Kamil Dedah Butiran Tawaran Pendamaian, Nekad Tetap Mahu Bercerai

Tindakan pengarah dan pelakon Farid Kamil mendedahkan butiran tawaran pendamaian kepada isteri, Diana Danielle yang bernilai ratusan ribu ringgit menimbulkan tanda tanya ramai pihak.

Malah, dia turut menunjukkan kepada umum barang kemas yang mengandungi enam bentuk cincin dan dua utas rantai emas.

Diana akui terkejut dengan tindakan suaminya seolah-olah dirinya seorang wanita materialistik.

Memetik laporan Kosmo, peguam yang mewakili Diana iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader tertanya-tanya motif tindakan Farid yang mendedahkan perincian tersebut kepada umum.

“Farid buat tawaran itu supaya Diana kembali, seolah-olah dengan memberikan duit baru Diana kembali ke pangkuannya.

“Dia bukan jenis gilakan duit. Hakikatnya, Diana terkejut dan tertanya-tanya motif Farid berbuat demikian terutama mendedahkan perkara itu kepada umum,” katanya.

Menurutnya lagi, Diana sudah nekad untuk bercerai kerana rumah tangga mereka tidak dapat diselamatkan lagi dan hanya akan berhubung demi anak-anak.

“Apabila Farid berkongsi perkara yang sepatutnya dimaklumkan dan dibincangkan antara peguam kepada orang luar seperti ingin tunjukkan isterinya seorang wanita materialistik.

“Perkahwinan mereka memang tidak boleh diselamatkan kerana Diana sudah nekad mahu bercerai. Demi anak-anak, dia cuma ingin kekal sebagai kawan,” jelasnya.

Maya Basir