Singkirkan Pengurus? Ini Penjelasan Aina Abdul… – “Saya Bukan Jenis Bermasam Muka Dengan Orang”

Penyanyi Aina Abdul menolak dakwaan dia menyingkirkan pengurusnya, Zizi kerana berlaku perselisihan faham.

Memetik laporan Berita Harian, Aina meluahkan rasa sedih dengan pengunduran pengurusnya itu selepas empat tahun bekerjasama.

“Saya tak singkirkan sesiapa pun. Siapa sahaja yang keluar daripada hidup saya, itu adalah keputusan mereka sendiri.

“Sudah tentu sedih kerana kami sudah lama bekerjasama ketika lagu Sumpah lagi. Tetapi, saya percaya dengan rezeki Tuhan.

“Mungkin kerjasama antara kami setakat itu sahaja. Tetapi siapa tahu, mungkin kita bakal bekerjasama kembali,” katanya.

Tambah pelantun lagu Terus Hidup ini, dia enggan timbulkan isu saling bermaafan sebaliknya mahu mengekalkan hubungan baik antara mereka.

“Saya bukan jenis suka bermasam muka dengan orang. Malah, saya tidak mahu orang minta maaf kepada saya.

“Saya tak nak langsung ada isu maaf atau memaafkan kerana apa yang berlaku tidak ada kena mengena dengan kemaafan.

“Saya hanya mahu hubungan baik, jika terserempak dalam mana-mana acara, kami boleh berbual seperti biasa. Cuma, mungkin tiada rezeki untuk kami terus kerjasama,” jelasnya.

Juara Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL 37) ini menyifatkan perkara tersebut terlalu peribadi buat dirinya.

“Mungkin boleh tanya pihak sana untuk penjelasan. Namun, biarlah saya sahaja yang tahu. Ia isu dalaman dan terlalu peribadi buat saya.

“Saya tak nak cakap lebih-lebih kerana semuanya berlaku begitu pantas. Saya tidak tahu apa yang ada dalam hatinya.

“Lagipun, saya tak mahu menyakitkan hati sesiapa. Saya pun kenal ibu bapanya dan mereka peminat saya juga,” tambahnya lagi.

Sehubungan dengan itu, segala urusan yang berkaitan kerjaya seninya akan dikendalikan oleh pengurus baharu, Azrul.

Sumber: Berita Harian

Khairil Khusyairi