“Dia Kena Bayar Ganti Rugi, Bukan Masalah Saya” – Jamal Abdillah Jawab Dakwaan Roslan Shah

Baru-baru ini tular satu dakwaan oleh penyanyi Roslan Shah yang mendakwa dia terpaksa membayar ganti rugi berjumlah RM33,000 kepada pihak penganjur sebuah pameran susulan penyanyi Datuk Jamal Abdillah membatalkan kehadirannya di saat akhir.

Tampil menjawab dakwaan tersebut, Jamal Abdillah memberitahu dia tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian untuk hadir ke sebuah acara di Singapura susulan dakwaan dia membatalkan kemunculan istimewa di negara itu pada Sabtu.

Jamal juga mendakwa sudah memaklumkan kepada Roslan Shah tidak dapat menghadiri program itu disebabkan terikat dengan komitmen lain.

“Saya masih ingat, ketika dalam perjalanan dari Kuantan ke Dungun bulan lalu, Roslan ada menghubungi saya, pujuk untuk hadir ke acara berkenaan. Saya sudah jelaskan, saya ada konsert eksklusif dengan penganjur di Singapura dan tak mahu ganggu penjualan tiket dengan membuat kemunculan terlalu kerap.

“Lebih sejam kami berbual di telefon, sebelum itu, dia hanya menghubungi staf saya untuk menawarkan jemputan berkenaan tetapi saya tidak pernah memberikan persetujuan. Entah mengapa dia nak tempah hotel, buat iklan dan buat pengumuman di media bahawa saya terlibat.

“Sudah banyak kali saya ulang, tapi itulah, bebal si Roslan ini, dia mahu juga saya datang. Mungkin dia (Roslan) ada agenda sendiri atau mahu kaut keuntungan,” katanya.

Mengulas mengenai ganti rugi yang dinyatakan Roslan, Jamal menegaskan itu bukan tanggungjawabnya kerana sejak awal dia sudah memaklumkan tidak dapat menyertai acara berkenaan.

“Dia kena bayar ganti rugi, bukan masalah saya. Sekiranya saya ada tanda tangan perjanjian maka barulah ia jadi tanggungjawab saya. Saya tidak tahu apa-apa mengenai perkara ini.

“Sudah tentu saya rasa marah apabila orang boleh guna nama saya sewenang-wenangnya,” jelas Jamal.

Sementara itu, Jamal memberitahu dia telah meminta anak lelakinya, Yamani Abdillah untuk tampil mengadakan persembahan di Singapura untuk tidak mengecewakan peminat memandangkan namanya telah disenaraikan sebagai artis yang akan hadir membuat kemunculan istimewa.

Sumber: mStar

Khairil Khusyairi