“Dia Sebutir Permata, Tak Mahu Nama Digugurkan..’ – Tetap Hadir Penggambaran Selepas Jalani Pembedahan, Pengarah Kongsi Naskah Terakhir Adibah Noor

Genap seminggu pemergian insan ‘Terlalu Istimewa’, Allahyarhamah Adibah Noor kian terasa apabila tiada lagi gurauan sendanya menyelusuri media sosial.

Malah, yang tinggal hanyalah bait-bait kenangan manis yang terpahat dalam memori setiap insan.

Turut tampil berkongsi rasa, pengarah terkenal Wan Hasliza Wan Zainuddin mengakui terkesan atas kehilangan seorang figura seni berbakat besar yang meninggal dunia akibat penyakit kanser ovari tahap empat pada 18 Jun lalu.

Seakan tahu dirinya akan pergi, Hasliza berkata arwah Adibah sempat merakamkan naskah terakhir dalam drama siri arahannya yang dipercayai akan mengubat kerinduan seluruh peminatnya.

Menurut Hasliza, sepanjang tempoh penggambaran drama tersebut, arwah Adibah sangat bersemangat untuk melakonkan watak yang disukainya itu.

Katanya, seluruh tenaga kerja produksi tidak tahu mengenai penyakit yang dialami oleh pelakon lagenda itu.

“Kami memang sedih diatas pemergian beliau. Pada hari pertama Adibah datang ke set, dia sangat teruja. Dia tanya kenapa naskah ini tak dijadikan filem? Dia suka sangat dengan watak yang kami beri.

“Dia datang ke set dan dah hafal skrip tapi dia hanya sempat datang dua hari je. Sepatutnya ada enam hari. Kita shoot tu dekat tengah padang.

“Saya sedih sangat sebab ketika itu kita tak tahu yang dia sedang sakit. Kami hanya ingat sakit biasa. Tak sangka penyakit dia tu sangat kronik,” katanya.

Tambahnya lagi, seluruh produksi mereka hanya dimaklumkan mengenai keadaan kesihatan arwah Adibah lebih kurang sebulan yang lalu sewaktu mereka pergi ke rumahnya untuk mengadakan proses voiceover.

“Sebulan lepas kami ada berjumpa semula dengan Adibah untuk buat voiceover di rumahnya. Macam-macam perkara kami buat ketika itu. Pada masa tu, barulah dia bagitahu semasa shoot di tengah padang haritu, dia rasa sangat sakit dan dah tak tahan.

“Dia pergi ke hospital keesokkan harinya, doktor maklumkan dia ada kanser. Masa itulah kami tahu pasal penyakit kansernya,” ujarnya.

Bercerita mengenai keperibadian arwah Adibah sepanjang mereka bekerjasama, Hasliza menyifatkan arwah seperti sebutir permata dan seorang anak seni yang sangat komited kepada kerjayanya, meskipun dalam keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.

“Adibah tidak mahu namanya digugurkan. Masa sakit tu, dia kata nak datang juga tapi kita cakap tak payah la. Dia telefon dan mengatakan dia risau mengenai wataknya. Dia nak juga datang walau selepas jalani pembedahan.

“Ketika kami berjumpa, badannya sangat susut. Sepanjang kita shooting bersama dia nampak sangat sihat. Tak nampak sakit pun. Ini adalah pengembaraan terakhirnya sebelum dia pergi.

“Adibah bagaikan sebutir permata. Ini merupakan kali ketiga dia shoot bersama kami dan setiap kali itu jugalah dia akan belanja semua kru. Dia akan bawakkan makanan. Cuma shooting terakhir ni je dia tak buat sebegitu.

“Dia memang tak banyak merungut. Walau tempat shooting jauh sekalipun, dia akan tetap datang drive sorang-sorang,” luahnya.

Artikel Berkaitan: “Saya Tak Nak Masuk TV Buat Masa Ni” – Adibah Noor Tolak Tawaran Rakaman Lagu Pada Tarikh Pengebumian

Sumber: Media Hiburan

Aqilah Paharuzi