Dikecam Kerana Pakai Emas Ketika Tunai Umrah, Ifa Raziah Sangkal Kejian Netizen

Baru-baru ini, pelakon dan penyanyi, Ifa Raziah, 46, dikecam netizen akibat foto yang dikongsikan ketika menunaikan umrah.

Gambar tersebut menunjukkan Ifa sedang berdiri di hadapan Kaabah dan netizen tidak senang duduk apabila melihat barang kemas yang menghiasi tangan dan jari pelakon itu.

 

Ifa menerusi saluran YouTube Ifa Raziah Entertainment mencela sikap sesetangah individu yang suka memberikan tuduhan melulu.

“Pakai emas apa masalahnya? Kita ini orang perempuan boleh saja pakai emas. Tak ada pun saya selak dalam Al-Quran, hadis kata wanita ini haram pakai emas. Tak ada.

“Cari hadis tempek dekat saya. Negara mana, mazhab mana yang mengatakan wanita yang pakai emas ni haram? Terutama ketika beribadah?” kata Ifa.

Menurutnya, dia tidak pernah berniat untuk menunjuk atau bersikap riak ketika memakai barang kemasnya ketika menunaikan umrah.

“Kita jangan dengkikan rezeki dari Allah”

Ifa hanya mahu menghargai apa yang diberikan oleh-Nya atas keberkatan rezeki yang diperoleh.

“Kita jangan dengkikan rezeki dari Allah. Orang lain rezeki dia lain Allah bagi. Rezeki kita Allah dah tetapkan,” tambah Ifa.

Dia juga berasa pelik dengan mentaliti sesetengah netizen di Malaysia yang suka memberi kecaman dan komen negatif terhadapnya.

Pelakon itu telah menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah pada Disember lalu dan dia meluahkan rasa syukur atas kesempatan yang diberikan.

 

Apabila ditanya oleh netizen adakah dia akan bertudung selepas menunaikan umrah, dia menjawab belum tiba masanya.

“Saya masih lagi belum pakai tudung. Saya belum lagi sebab saya ada perjanjian saya dengan Allah. Kalau balik dari umrah saya tak pakai tudung. Melainkan saya dah naik haji, baru saya pakai tudung. Hidayah saya berbeza,” jelasnya di dalam satu siaran langsung di Instagram.

Arfah