Avicii, antara DJ terkenal dunia yang terbabit mempopularkan dunia muzik elektronik tetapi berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan gaya hidup parti meninggal dunia semalam di Oman, pada usia 28 tahun.

Dua tahun selepas mengumumkan persaraan secara tiba-tiba, DJ berasal dari Sweden dengan nama sebenar Tim Bergling itu ditemui mati di Muscat.

“Dengan penuh dukacita kami mengumumkan bahawa Tim Bergling atau dikenali sebagai Avicii, sudah meninggal dunia.

“Keluarga mendiang sedang berada dalam kesedihan yang amat sangat dan kami amat berharap orang ramai termasuk pihak media memberikan mereka ruang untuk menghadapi saat-saat menyedihkan ini,” kata pihak pengurusan mendiang tanpa memberitahu punca kematian.

Seorang DJ di Muscat Hills Resort, Maitrai Joshi berkata, beliau melihat Avicii sebelum diberitahu bahawa bintang muzik berentak tarian itu sedang bercuti di Oman buat pertama kali dan melanjutkan tempoh percutian beberapa hari lagi.

“Saya melihat beliau sekali lagi keesokan harinya dan Avicii sangat peramah, rendah diri dan turut bergambar bersama,” katanya.

Avicii adalah antara DJ pertama yang berjaya menembusi pasaran utama serentak dengan kebangkitan muzik berentak tarian, bermula dari hanya dimainkan di kelab malam hingga tersenarai dalam carta radio Top 40.

Lagu paling popular beliau bertajuk Wake Me Up berada dalam kedudukan pertama seluruh Eropah pada tahun 2013 dan turut menampilkan penyanyi berentak soul, Aloe Blacc. 

SGMS Faida