Dua Tahun Terpalit Kes Dakwaan Pikat Isteri Orang, Shah Radhi Bebas Tuduhan – “Doa Saya & Ibu Termakbul”

Selepas lebih dua tahun terpalit dengan kes dakwaan memikat isteri orang dengan tujuan melakukan hubungan seks, pelakon Shah Hazvee kini bebas daripada tuduhan tersebut.

Memetik laporan mStar, Shah atau nama lengkapnya Shah Radhi Hazvee dibebaskan selepas Mahkamah Majistret Ampang membuat keputusan tersebut.

Menurut Shah, dia berasa syukur apabila kes tersebut diselesaikan dengan adil malah menganggap apa yang terjadi adalah pengajaran buatnya.

“Selepas lebih dua tahun tertangguh dan sembilan kali turun naik mahkamah, akhirnya kes ini selesai. Saya amat bersyukur atas keputusan yang telah dibuat sekali gus membuktikan saya tidak bersalah.

“Alhamdulillah doa saya dan ibu selama ini termakbul. Apa yang berlaku menjadi satu pengajaran buat saya supaya lebih berhati-hati” katanya.

Shah yang mula memasuki industri pada 2017 berkata, dia tidak mengambil kisah tentang cakap-cakap orang mengenai kisah silamnya malah lebih fokus dalam kerjaya.

“Realiti dalam kehidupan sebenar kita memang tidak boleh lari dari melakukan kesilapan, tetapi saya bukanlah terlalu jahat sampai sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu.

“Kalau orang mahu terus bercakap biarkanlah. Mahkamah telah putuskan saya tidak bersalah. Itu lebih penting buat saya kerana sejak awal lagi saya yakin tidak bersalah dan biar pihak berkuasa menentukan.

“Sekarang ini tak perlu lagi nak pandang belakang dan lebih baik saya fokus kepada kerjaya, ujarnya.

Tambah Shah, dia memberitahu ada tawaran yang ditolak ketika kes mahkamah yang masih berjalan.

“Memang betul sebelum ini nama saya pernah ditolak dalam senarai pelakon ketika kes ini belum selesai namun saya tidak pernah berkecil hati.

“Bagaimanapun saya harap selepas ini segala dakwaan atau kata-kata buruk tentang saya akan hilang,” harapnya.

Pada Mei 2020, Shah dihadapkan ke Mahkamah Majistret  atas dakwaan memikat isteri orang dan mengajak melakukan persetubuhan namun mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.

Menurut pertuduhan, pelakon drama Imamkan Aku itu didakwa memikat isteri orang berusia 36 tahun dan supaya wanita itu melakukan persetubuhan dengannya.

Sumber: mStar

Khairil Khusyairi