Dunia Glamour Dah Habis – Adi Putra

Pelakon Datuk Adi Putra mengaku dirinya sudah lupa untuk mengejar populariti selepas 17 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan.

Kata pelakon yang cukup terkenal dalam drama Teduhan Kasih, dia kini lebih teliti dalam memilih watak seiring dengan kualiti yang dipersembahkan.

“Saya masih ‘hidup’ dalam industri lakonan walaupun umum tahu saya juga perlu fokus kepada syarikat agensi menunaikan Umrah sejak beberapa tahun lalu.

“Menguruskan jemaah Umrah memerlukan tumpuan penuh daripada saya sendiri. Saya perlu korbankan salah satu antara lakonan dan perniagaan.

“Jujurnya, saya tidak lagi berharap untuk nama saya sentiasa di atas. Cukup sekadar masih diingati dengan naskah yang berkualiti. Itu sudah memadai,”katanya kepada Xtra.

Dalam perkembangan lain, pelakon berusia 38 tahun ini juga bakal tampil dalam sebuah filem arahannya bertajuk Syaaban.

“Filem ini merupakan percubaan pertama saya sebagai pengarah. Diterbitkan di bawah syarikat produksi milik saya sendiri, Insha Allah jika tiada aral, filem ini akan menemui penonton selewatnya tahun depan.

“Saya mendapat ilham menghasilkan filem ini ketika menonton filem Kiamat Sudah Dekat, sebuah filem luar. Kandungan dan jalan cerita juga seimbang, mungkin tajuknya kedengaran Islamik. Ia sesuai ditonton oleh semua peringkat,” katanya yang mengambil masa selama 12 hari penggambaran.

Tambah Adi, Hasnol Rahmat antara pelakon yang turut menjayakan filem Syaaban. Semoga filem ini terus sukses, Datuk! 

Oleh: Fas

SGMS Faida