Categories: HiburanSelebriti

Elizad ‘Penyelamat’ Uqasha!

Susulan penahanan pelakon Uqasha Senrose atas kesalahan memiliki enam bungkusan aluminium berisi 53 pil Eramin 5, semalam…Pelakon Siti Elizad telah dipanggil untuk menggantikan tempatnya untuk sebuah rakaman program siaran televisyen berbayar yang berlangsung di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Hulu Klang.

Memetik laporan Harian Metro, Elizad atau Siti Elizad Mohamad Sharifuddin memberitahu, dia dipanggil pada saat akhir selepas dimaklumkan pelakon itu tidak dapat memberi komitmen.

“Ketika dalam perjalanan pulang dari mengambil barang di FINAS, saya dihubungi wakil produksi dan menawarkan saya untuk terbabit dalam program ini.

“Memandangkan ia pada saat akhir, saya bertanya kena ganti siapa. Jadi, mereka maklumkan perlu menggantikan Uqasha atas perkara yang tidak dapat dielakkan.

“Kebetulan tidak ada kerja lain, jadi saya okey saja. Dalam masa sama, mereka minta tolong,” katanya.

Elizad memaklumkan dia tidak dimaklumkan alasan sebenar Uqasha tidak dapat menghadirkan diri.

“Saya bukan jenis nak ambil tahu apa masalah orang. Namun, sewaktu menunggu rakaman berlangsung saya terbaca laporan berita mengenai Uqasha di laman Twitter.

“Dari situ baru saya tahu alasan utama dia tidak dapat hadir. Selepas itu, baru pihak produksi maklumkan perkara sebenar,” katanya.

Menurut Elizad, dia yang secara peribadi mengenali Uqasha mengakui terkejut dengan berita yang dilaporkan.

“Walaupun saya mengenali Uqasha, tapi saya tidak ada hak untuk mengulas atau beri komen. Apa yang berlaku adalah masalah peribadi. Saya doa yang terbaik saja,” katanya.

 

SGMS Faida