Empat Calon DJ Suria FM Tercalon Dalam Kategori Penyampai Radio Popular

Tercalon dalam kategori Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 31, empat DJ dari stesen radio Suria FM menghargai pengiktirafan yang diberikan terhadap kerjaya mereka.

DJ Lin, Fizi Ali, Tyzo dan Suraya Borhan masing-masing bersetuju pencalonan dalam acara anugerah pilihan peminat itu menuntut mereka menjadi lebih kreatif apabila berada dalam konti.

DJ Lin yang pernah meraih trofi Penyampai Radio Popular pada ABPBH 29 berkata, kemenangan itu banyak membantunya dalam menambah baik mutu kandungan dan penyampaian.

“Saya bersyukur ABPBH memberi motivasi kepada penyampai radio untuk terus kreatif,” katanya kepada BH Online.

Berkongsi keterujaan, Fizi berkata, pencalonan dalam ABPBH sangat penting dalam membantu meningkatkan kerjaya termasuk dalam aspek imbuhan.

“Saya memang bersyukur… Bagi saya, ini adalah satu petanda bahawa peminat dan pendengar tahu kewujudan saya,” katanya.

Sementara itu, Suraya berbangga usahanya selama ini diterima penganjur dan peminat.

“Saya bersyukur… Bagi saya, tercalon saja sudah membuatkan saya tersenyum. Ini memberi suatu gambaran positif buat saya dan kerjaya,” katanya.

Tyzo pula menyerahkan kepada rezeki andai memenangi trofi idaman apatah lagi dalam keadaan di mana ramai bakat baharu lahir dalam industri radio.

“Apabila nama ada dalam pencalonan, bermakna kita masih mendapat kepercayaan dan ia wajar dihargai,” katanya.

Baru-baru ini, empat penyampai radio terbabit meraikan lebih 50 rakan media pada majlis malam media Suria FM di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

Jangan lupa mengundi artis kegemaran anda di laman www.abpbh.com.my bermula 25 Ogos sehingga 25 September ini ya!

 

SGMS Faida