Erma Fatima Syukur ‘Buah Hati’ Terselamat

Erma dalam perjalanan ke lokasi penggambaran musim kelima drama Mak Cun bersyukur Allah menyelamatkan Zareef Yusof yang berusia sembilan tahun, daripada kecederaan.

“Alhamdulillah, malaikat menjaga kamu sayang sehingga sedikit luka pun tiada,” tulis pengarah, Erma Fatima mengenang detik cemas membabitkan anak kepada aktor, Datuk Eizlan Yusof, Zareef Yusof di Sekinchan, Kuala Selangor, Khamis lalu.

Tambah Erma, Zareef sangat istimewa kerana biarpun dibesarkan dengan kehidupan yang selesa tetapi penuh peradaban.

“Mulutnya tidak lepas daripada mengungkapkan kata-kata maaf dan tidak sombong dengan kemewahan selain menjadikan dirinya ‘buah hati’ semua orang.

“Beberapa hari sebelum kemalangan, dia tidur bersama… Kadang-kala pergi dan balik ke set menaiki kereta sama dan makan sekali. Cuma pada hari kejadian, dia berangkat ke set lima minit lebih awal daripada saya,” luah Erma.

Mengimbas kembali pengalaman cemas melihat kereta dinaiki Zareef terbalik di lokasi kemalangan, Erma bersyukur kerana kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Saya berlari turun dari kereta dalam tangisan mencarinya. Saya ternampak dia duduk tepi jalan dalam keadaan terkejut.

“Terima kasih Allah kerana menyelamatkan Zareef daripada segala-galanya saat dugaan itu dihantar,” katanya.

Tambah Erma, biarpun tidak cedera, Zareef dan ibu saudaranya dibawa ke hospital untuk membuat pemeriksaan lanjut.

SGMS Enal