‘Filem Ini Ajar Kami Lebih Kenal Diri Sendiri’- Pelakon Milly & Mamet Kongsi Pengalaman Manis

Hero dan heroin filem Milly & Mamet, Sissy Prescillia and Dennis Adhiswara mengaku karakter dalam filem ini banyak membantu mereka memahami diri sendiri.

Menurut Sissy Prescillia yang membawakan watak Milly, penceritaan filem arahan Ernest Prakasa dan penerbit Mira Lesmana disifatkan cukup dekat dengan kehidupan sebenar pasangan suami isteri di luar sana.

“ Kalau kisah Cinta dan Rangga, mereka ibarat prom Queen & King begitu. Tetapi kisah Milly & Mamet jalan ceritanya berkait dengan kehidupan harian pasangan suami isteri di luar sana. 

“ Bahagia, bergaduh itu lumrah biasa. Cabaran yang perlu berdepan oleh pasangan baru berkahwin ditonjolkan dalam filem ini. Di penghujung cerita filem ini, terdapat mesej tersirat yang boleh dipelajari,” katanya ketika ditemui di sidang media majlis pra tonton filem Milly & Mamet, hari ini.

Pelakon wanita yang turut beraksi dalam Ada Apa Dengan Cinta pada tahun 2002 ini berharap agar penonton tidak membuat perbandingan wataknya dengan filem sebelum ini.

“ Pengikut AADC pasti tahu watak Milly seorang yang ‘blur’. Tapi di dalam filem ini saya buktikan di sebalik karakter ‘blur’, dia mampu menjadi seorang wanita yang berdikari dan kuat biarpun berdepan konflik rumah tangga,” akhirinya.

Filem Milly & Mamet ditayangkan di seluruh pawagam TGV bermula 7 Mac ini! 

Oleh: SGMS Enal

SGMS Faida