Fizz Fairuz Tak Tertekan Walaupun…

Pejam celik, sudah 13 tahun Datuk Fizz Fairuz berkecimpung dalam dunia seni. Beri apa saja watak, pasti pelakon drama Nur Kasih ini menjalankan tugasnya dengan baik.

Suami kepada Datin Almy Nadia ini juga bakal menginjak ke usia 40 tahun pada Oktober tahun depan.

Kata Fizz Fairuz, jujurnya dia langsung tidak berasa tertekan dengan peningkatan umur.

“ Saya lihat dari sudut positif, peningkatan umur akan seiring dengan kematangan diri.

“ Selagi bakat saya diperlukan, saya akan terus berkongsi bakat yang ada. Jika diizinkan-Nya, saya yakin mampu membawakan watak utama berdasarkan faktor wajah dan fizikal. Insha Allah,” katanya. 

Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin bersyukur sehingga kini bakatnya masih dilihat oleh penerbit dan pengarah tanah air.

Bercakap mengenai perkembangan terbaru, Fizz bakal tampil dengan drama Kamar Kamariah menerusi slot Zehra. Dalam drama ini, Fizz berganding dengan pelakon hebat, Nabila Huda.

“Saya seronok apabila dapat berlakon dengan mereka yang ‘memberi’ ketika di lokasi. Segalanya jadi mudah. Bakat Nabila tak perlu kita pertikaikan lagi, dia memang seorang pelakon hebat,” akhirinya.

SGMS Faida