Followers Kini Cecah Ratusan Ribu, Mierul Aiman Hargai Sokongan Peminat – “Buat Masa Sekarang Saya Tak Pernah Kena Kacau…”

Pelakon meningkat naik Mierul Aiman kini menjadi sebutan di bibir penonton dek kerana lakonan yang mantap dalam drama bersiri Projek: High Council.

Benar-benar menjadi ‘kegilaan ramai’, jumlah pengikut Instagram (IG) jejaka berusia 25 tahun ini turut menyaksikan peningkatan yang mendadak.

Menurut Mierul atau nama lengkapnya Muhammad Amirul Aiman Azman ini, pengikut di IG kini sudah mencecah lebih ratusan ribu sejak drama lakonannya ditayangkan.

“Dulu pengikut saya cuma tujuh ribu sahaja, tak sampai 10,000 pun.

“Alhamdulillah sekarang dah lebih 100,000 pengikut. ‘The love is there’, kasih sayang yang mereka beri itu ada dan saya sangat hargainya.

“Buat masa sekarang saya tak pernah kena ‘kacau’, apa yang saya boleh lihat sekarang adalah penghargaan daripada peminat, saya tak boleh gambarkan bagaimana sokongan yang saya terima.

“Saya berada di sini disebabkan mereka semua yang menyokong saya dengan ikhlas,” kongsinya teruja.

Disoal mengenai sosok wajahnya yang mempunyai rahang jantan sehingga menjadi bualan warganet, Mierul mengakui ia adalah keunikan yang terdapat pada dirinya.

“Sebenarnya saya tak pernah terfikir pun ini adalah salah satu keistimewaan dekat diri saya.

“Kemana-mana sahaja saya pergi, dalam sepuluh orang, lima daripadanya akan bercakap mengenai rahang jantan ini.

“Saya percaya, mungkin ini adalah salah satu keunikan buat diri saya dan saya hargai apa yang orang suka, yang paling penting bukanlah saya gunakan ia untuk kerja. Terima kasihlah kerana sukakan rahang saya,” ujarnya berseloroh.

Melihat kepada sambutan luar biasa peminat terhadap drama lakonannya, Mierul memaklumkan dia tidak menjangkakan karya tersebut akan meledak di kaca televisyen. Malah menghargai sokongan padu semua terhadap drama tersebut.

“Kami sebagai pelakon dalam drama ini ingin persembahkan yang terbaik dan alhamdulillah hit itu sangat besar.

“Kami tak menjangkakan itu, kami menjangkakan naskah ini mendapat tempat di hati penonton tetapi kami tak jangka gelombang ini jadi seperti ini.

“Kami hargai momen ini, hargai sokongan daripada peminat dan peminat karya-karya industri dan kami sebagai pelakon-pelakon baharu sangat dahagakan untuk berkarya lagi.

“Terima kasih kerana berikan kasih sayang dan penikmatian yang terbaik dan banyak lagi yang kami akan jelajahi untuk drama ini ” katanya ketika ditemu bual XTRA.

Mierul ditemui pada acara pertunjukan fesyen Bulan Bintang Takes The Sky di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Khairil Khusyairi