Gigih Kumpul Simpanan Sebelum Kahwin, Ryan Deedat Enggan Dibelenggu Hutang – “Ada Kawan Pinjam Along, Sampai Kena Simbah Cat Merah!”

Penyanyi Ryan Deedat mahu mengumpul wang simpanan sebelum bersedia untuk menamatkan zaman bujang dan bergelar suami.

Enggan dibelenggu hutang, Ryan mendedahkan kisah buruk yang dihadapi oleh rakannya membuatkan dia cakna mengenai pengurusan kewangan sebelum berkahwin.

“Saya memang bersedia nak bergelar suami tapi sebelum itu, biarlah kewangan itu kukuh terlebih dahulu. Sebelum ini, ada rakan rapat saya yang meminjam wang kerana mahu berkahwin.

“Apa yang memburukkan keadaan, dia menggunakan khidmat pemberi pinjam wang haram atau along. Akhirnya, dia gagal selesaikan hutang dan dikejar. Paling teruk, kediaman kawan saya kena simbah dengan cat merah.

“Syukur kini masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan bantuan saya dan rakan-rakan lain. Semenjak itu, memang saya mementingkan pengurusan wang, lebih-lebih lagi sebelum menamatkan zaman solo.

“Biarlah saya membina kehidupan baharu dengan duit simpanan sendiri dan saya juga sering mengingatkan perkara sama terhadap rakan-rakan lain supaya kejadian lama tidak berulang lagi,” katanya kepada XTRA.

Ryan ditemui di majlis pelantikan sebagai duta jenama Lulus.my di Setia Alam, pada Rabu.

Menyedari kepentingan pengurusan kewangan, Ryan berperanan untuk memberikan informasi yang berguna kepada orang ramai.

“Sebagai seorang pelajar sarjana pengurusan perniagaan, saya cakna dengan perkara ini, lebih-lebih lagi apabila ada teman sendiri yang mengalami kejadian buruk yang tidak diingini. Fokus Lulus.my adalah untuk menyediakan satu jalan penyelesaian yang efektif kepada individu yang terkesan dengan kemelut kewangan dan hutang.

“Setiap individu berhak untuk mendapat peluang kedua dan kembali menjalani kehidupan yang lebih baik dengan mencapai kestabilan dan kebebasan kewangan. Mereka menyediakan perkhidmatan yang komprehensif termasuk penyatuan hutang, pembiayaan semula rumah dan pembaikan kredit terutamanya kepada kakitangan awam, GLC dan juga kakitangan bank terpilih serta membersihkan rekod senarai hitam CCRIS dan CTOS, saman serta isu berkaitan kebankrapan,” katanya.

Menurut Hasrul Syafiq selaku Pengarah Urusan Lulus.my, pasukan mereka terdiri daripada bekas kakitangan bank yang mempunyai pengalaman dalam pengurusan kredit dan hutang.

“Dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan, kami dapat membantu orang ramai melalui strategi dan jalan penyelesaian yang holistik dan mengikut kesesuaian kepada cabaran kewangan individu tersebut.

“Selain itu, kami juga memberi ilmu pengetahuan tentang pengurusan kewangan dan hutang untuk membantu rakyat Malaysia sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang cabaran kewangan pada masa akan datang,” katanya.

Padin