Hafidz Roshdi Mengaku Tidak Bersalah Pukul Isteri

Pelakon Hafidz Roshdi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru atas pertuduhan menumbuk pipi kiri isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri sebanyak tiga kali hingga luka, pada 2 Mac lalu.

Pengakuan tersebut telah dilakukan Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 29, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret.

Dalam pertuduhan itu, kesalahan tersebut didakwa berlaku berhampiran susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya sekitar jam 3.30 pagi, 2 Mac lalu.

Selain itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Malah, dakwaan tersebut turut dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Kes perbicaraan hari ini telah diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar, manakala Hafidz diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Dakwaan Pukul Isteri, Hafidz Roshdi Tenang Tiba Di Mahkamah Pagi Ini

Fatin Nurain