Hafiz Suip Masih Aktif Menyanyi, Dedah Punca Tubuh Semakin Susut – “Saya Turun Berat Badan Sebab…”

“Masih lagi aktif menyanyi.”

Demikian kata-kata penyanyi Hafiz Suip apabila perjalanan karier nyanyiannya dikatakan kian menyepi sejak beberapa tahun ini.

Malah pelantun lagu Awan Nano ini juga turut terpalit dengan pelbagai spekulasi yang timbul mengenai keadaan terkini susulan fizikal tubuhnya yang semakin susut.

Terkini, menerusi temu bual bersama program hiburan popular TV3, Melodi, Hafiz akhirnya tampil menjelaskan keadaan terkini dirinya selepas sering mengelak dari pertanyaan media sebelum ini.

“Sebenarnya saya okey sahaja. Ramai juga yang bertanya ‘kau sihat ke?’

“Saya turun berat badan sebenarnya sebab ini keinginan saya juga. Sudah tentu siapa yang tak mahu nampak elok kan? Kita nak nampak dengan penampilan yang baik, jadi ini adalah cara saya untuk mencantikkan diri.

“Saya tak boleh nak cakap apa. Saya terima saja apa orang cakap. Kita tak boleh nak halang apa orang kata.

“Di sini saya beri kenyataan di mana saya sihat, alhamdulillah. Insya-Allah apa-apa sebenarnya kita kena percayakan Allah,” jelasnya.

Disoal mengenai penglibatannya dalam aktiviti berdakwah, Hafiz mengakui ia adalah tanggungjawab semua.

“Apa yang boleh saya katakan, inilah apa yang saya buat. Kerja hakiki dan dakwah. Apa yang saya boleh katakan ialah itu tentang kehidupan masing-masing.

“Saya rasa semua orang perlu buat perkara yang sama selain daripada kerja-kerja biasa dan inilah kerja kita di dunia,” katanya.

Hafiz mendirikan rumah tangga bersama Nureffy pada tanggal 14 Mei 2016 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Riyadh Zafri dan Alkaf Zayne.

Sumber: Melodi TV3

Khairil Khusyairi