Hamil Anak Kelima, Liza Hanim Kongsi Pengalaman Cemas

Alhamdulillah… Penyanyi bersuara emas, Liza Hanim umum hamil anak kelima selepas menjayakan Konsert Semalam Di Malaya yang diadakan di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

Penyanyi berusia 38 tahun itu turut berkongsi pengalaman cemas di awal proses kehamilannya di laman Instagram.

“ Saya mengalami bleeding sebelum Konsert Dua Diva di Singapura, sampai kena masuk wad akibat muntah teruk sampai kekurangan air dalam badan.

“Alhamdullilah, walaupun kuat dugaan sepanjang kehamilan, baby kuat meneman mama dia menyanyi dan memenuhi undangan,” tulisnya di Instagram.

Kata Liza atau nama sebenar Haliza Hanim Abdul Halim disebabkan pendarahan dialami memaksanya untuk masuk ke hospital selain akibat simptom alahan yang teruk.

Liza mendirikan rumahtangga bersama bekas anggota kumpulan Indigo, Mohamed Shahrin Samsudin pada tahun 2003 dan dikurniakan empat cahaya mata, dua lelaki dan dua perempuan.

Dalam masa sama, Liza memohon peminat mendoakan agar kandungannya terus sihat agar dia mampu meneruskan kerjaya seni seperti biasa.

“Sesungguhnya ini adalah rezeki dan anugerah terindah yang sungguh indah dan amat bermakna daripada Allah. Doakan saya sihat sehingga melahirkan nanti,” akhirinya.

SGMS Faida