Haneesya Hanee Bengang Adik Dipanggil ‘Gajah’

“ Adik saya dipanggil ‘gajah’ berkali-kali oleh seorang budak dan bila dia pulang dari sekolah, dia mula minum air detoks lemon banyak-banyak,” demikian perkongsian model jelita, Haneesya Hanee yang kecewa dengan isu yang menimpa adik lelakinya.

Kongsi Hanee, dia terkejut apabila adiknya tidak mahu ke sekolah pada pagi tadi.

“Pagi tadi dia tidak mahu ke sekolah tetapi kami memaksanya pergi juga memandangkan peperiksaan sudah hampir.

“Apabila di sekolah dia berkurung di dalam tandas dan tak mahu keluar sampaikan ibu saya terpaksa ke sekolah untuk melihat keadaannya,” cerita Hanee mengenai kejadian yang berlaku semalam.

Kongsi Hanee lagi, adiknya telah dibuli sejak darjah empat lagi dan masih bersabar sehingga sekarang.

” Ibu selalu berpesan supaya jangan ‘balas’ balik. Si pembuli pula lebih kecil dari dia. Pada mulanya kami ingat dia malas untuk ke sekolah tetapi rupanya dia dibuli. Kami sekeluarga tahu masalah dihadapinya cuma kami sering memberinya motivasi, dia okay pada awalnya. Mungkin sebab dia pendam perasaan jadi masalah ini semakin besar,” katanya. 

Kongsinya lagi, situasi begini membuktikan kata-kata boleh meninggalkan kesan besar kepada seseorang. 

” Buli boleh berlaku di mana-mana sahaja kepada sesiapa sahaja tidak mengira saiz atau rupa.

“Sebagai ibu bapa, anda sepatutnya sering mengingatkan anak-anak agar tidak menggalakkan amalan buli. Segalanya bermula dari rumah! Saya kasihan melihat adik saya sendiri terpaksa melalui perkara sebegini pada usia baru 12 tahun.

“Sekolah sepatutnya menjadi lokasi paling menyeronokkan untuk menimba ilmu,” akhiri Hanee. 

Nampaknya kes buli di sekolah semakin hangat diperkatakan. Kepada ibu-bapa di luar sana, jangan lupa pantau kegiatan harian anak anda. Pesan kepada mereka, jaga tingkah laku di sekolah dan jangan buli orang lain okay! 

SGMS Faida