“Harga Salt Bae Tak Mahal Mana Pun..”- Aeril Zafrel Jawab Dakwaan Riyak Makan Mewah Di London

Pelakon popular, Aeril Zafrel menjadi perbualan hangat warganet atas perkongsiannya yang dianggap riyak ketika menikmati hidangan lebih RM10,000 di Nusr-Et Steakhouse London, milik cef terkemuka dunia, Salt Bae.

Ketika itu, Aeril sedang bercuti bersama isteri tercinta, Wawa Zainal dan beberapa rakan selebriti lain iaitu Mawar Rashid dan suami, Raf Yaakob di London, United Kingdom.

Susulan perkongsiannya itu, Aeril dihentam warganet di media sosial yang menyifatkan jumlah yang dibelanjakan untuk menikmati hidangan terbabit adalah satu pembaziran.

Tampil menjawab dakwaan riyak tersebut, Aeril berkata, caj yang dikenakan dalam nilai mata wang Pound Sterling itu akan menjadi mahal sekiranya nilainya ditukar kepada RInggit Malaysia.

“Sebenarnya harga yang dikenakan biasa sahaja, tetapi apabila kita tukar kepada Ringgit Malaysia yang rendah, maka nilainya menjadi mahal.

 

“Pada saya stik yang dihidangkan memang terbaik dan saya belum pernah menikmati hidangan seenak itu.

“Bayaran makanan menjadi lebih mahal disebabkan terdapat banyak caj tersembunyi. Sebagai contoh, bayaran untuk cef Salt Bae memotong daging dan aksinya menaburkan garam mempunyai kadar bayaran lain. Itu sahaja sudah bernilai RM1,000,” katanya.

Mengulas lebih lanjut, Aeril berkata dia tidak kisah untuk membelanjakan wang yang besar lebih-lebih lagi kepada keluarga.

“Sebenanya kalau berkira sangat masa pergi bercuti, lebih baik duduk di rumah sahaja. Lagipun saya bukannya pergi ke sana setiap bulan. Tetapi percutian ini turut mengajar saya untuk buat perancangan lebih rapi sebelum berangkat,”ujarnya.

Sumber: mStar

Aqilah Paharuzi