[VIDEO] “Kasihannya Ibu, Ayah Berpuluh Tahun Simpan Duit” – Ditipu Agensi, Hampir 400 Bakal Jemaah Haji Terkandas Di KLIA

Kegembiraan dijemput menunaikan ibadah haji bertukar menjadi mimpi ngeri bagi 380 bakal jemaah haji.

Kesemua jemaah terkandas di aras 5, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas dipercayai ditipu oleh sebuah agensi pelancongan.

Difahamkan, kesemua bakal haji itu menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.

Menurut seorang mangsa, agensi pelancongan telah meminta semua jemaah di bawah kendaliannya untuk datang ke KLIA pada Khamis kerana penerbangan dijangka berlepas pada pukul 4.30 petang, namun kemudiannya dimaklumkan telah ditangguh ke pukul 7 malam.

“Semakan kami mendapati penerbangan terakhir ke Jeddah, Arab Saudi adalah pada kira-kira 6 petang tadi dan sehingga saat ini kami tidak dimaklumkan apa-apa oleh wakil agensi pelancongan,” katanya.

Tambahnya lagi, mengikut perancangan awal, mereka sepatutnya ke Jeddah pada Selasa lepas namun ditangguhkan atas alasan terdapat dokumen yang masih tidak lengkap.

Selain itu,  bakal jemaah juga tidak pernah ditunjukkan tiket penerbangan dan visa untuk menunaikan haji.

 

Menjengah diruangan komen pula, rata-rata warganet termasuklah penyanyi dan usahawan selebriti, Iqbal Zulkifli berkongsi perasaan sedih diatas nasib yang menimpa kesemua bakal jemaah apatah lagi mereka terdiri daripada golongan berusia.

 

 

 

Sumber: Bernama, Jentikhati TV, fareezazmann

Salma Syahbuddin