Hebat! Tamat Ijazah, Aril Mahu Sambung Master Pula

Selepas tiga tahun, penyanyi Aril berjaya menamatkan pengajian dalam ijazah Sarjana Muda, Pengurusan Industri Kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.

Aril ketika ditemui di pelancaran laman web wilayahtrade.com berkata dia berhasrat menyambung di peringkat pascasiswazah selepas ini.

“ Insya Allah jika tiada aral saya mahu sambung di peringkat master namun bergantung kepada masa.

“ Sukar nak jangka tapi rancangan memang ada. Jika diizinkan saya akan sambung dalam bidang industri kreatif juga,” katanya ringkas.

Program pengajian disertainya diadakan khas oleh pihak UUM untuk memberi peluang kepada penggiat seni dan ia pertama kali dibuat pada tahun 2010.

Antara selebriti yang pernah mengikuti program pengajian anjuran UUM ialah Presiden, Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi, Zehra Zambri dan Diddy Hirdy.

Dalam perkembangan lain, Aril kini tampil dengan single berjudul Pedih yang boleh didengari di seluruh platform digital.

“ Saya kongsikan lagu ini untuk anda yang sedang putus cinta. Saya pasti ramai yang pernah melaluinya kan. Jangan sedih, terus bangkit,” katanya.

Dalam masa sama, Aril kini sedang mencari syarikat pengurusan yang boleh mengendalikan jadual karier seninya. Good Luck Aril!

SGMS Faida