Categories: HiburanTrending

#HelloPadin: Netizen… Jangan Cepat Jatuhkan Hukum, Umpama Kita Paling Maksum!

Bertemu kita lagi dalam #HelloPadin!

Seperti biasa, menerusi ruangan ini, saya akan membicarakan mengenai topik pilihan sendiri, tak kiralah perkara trending semasa atau sensasi hiburan yang memanaskan radar dunia seni.

Sepanjang berada dalam bidang penulisan hiburan, tentunya saya sudah menemu ramah ramai artis dan selebriti.

Penglibatan hampir sepuluh tahun dalam industri seni tanah air membuatkan saya mendekati dan mengenali figura yang dipuja oleh masyarakat dengan lebih dekat.

Sepanjang bekerja, saya begitu mengingati sesi temu bual bersama pelakon genit yang kini sedang hamil anak kedua, Elfira Loy.

Ketika itu, pada tahun 2016, satu Malaysia dihebohkan dengan tindakan seorang aktres yang kembali ‘free hair’ selepas tiga tahun berhijab.

Kapasiti Elfira sebagai rakan selebriti kepada aktres itu membuatkan saya bertanyakan pendapatnya mengenai kontroversi yang tercetus.

Selain itu, Elfira juga baru sahaja berhijab pada tahun 2015 bersempena hari lahirnya yang ke-21.

Komen Elfira mengenai isu terbabit membekas di hati saya dan menjadi antara sesi temu bual yang paling saya ingati sehingga kini.

“Ujian datang dalam pelbagai bentuk dan ujian adalah untuk semua manusia. Mungkin apa yang orang lihat ialah dia sedang berhadapan dengan ujian, tetapi sebaliknya, tiada siapa yang tahu.

“Mungkin sebenarnya kita yang sedang diberikan ujian dan Allah mahu melihat sejauh mana reaksi kita. Sejauh mana kita mampu untuk menjaga perbuatan serta percakapan daripada tidak berkata buruk dan memberikan respons negatif terhadap perkara ini,” katanya.

Saya tersentak. Betul kata Elfira. Bukan sahaja ujian untuk dia, tetapi ujian juga untuk kita.

Biarpun sesi temu ramah itu sudah lama berlalu, apa yang diperkatakan Elfira masih lagi tersemat di fikiran saya dan sangat sesuai dengan situasi kita ketika ini.

Ya, itu adalah ujian.

Sebenarnya, ujian itu bukan hanya untuk individu yang mencetus isu, tetapi untuk kita semua, netizen yang duduk di kerusi pemerhati.

Kebelakangan ini, saya boleh katakan ramai yang menurut emosi penuh amarah ketika memberikan komentar mengenai sesuatu perkara.

Kadang-kadang, isu atau kontroversi terbabit tak ada kena mengena pun dengan diri sendiri, tetapi untuk kekal up to date, pastinya ada yang berperanan lebih sudu daripada kuah.

Kita semua sedang diuji. Bagaimana kita memberikan respons? Adakah percakapan kita lebih berbisa berbanding isu yang tercetus?

Kenapa ada segelintir yang terus menghukum dengan tohmahan tanpa belas kasihan menggunakan jari dan menjelma sebagai wira papan kekunci?

Ada beza antara ‘mengkritik secara membina’ dengan ‘menghentam secara membabi buta’.

Setiap apa yang berlaku, ada baiknya jika kita mengambil pengajaran serta iktibar.

Menegur boleh, mengkritik untuk tujuan membina juga boleh, tetapi janganlah sehingga menyakitkan dan menghina.

Dalam era media sosial sekarang, kita mudah untuk melampiaskan nafsu amarah yang membara terhadap sesuatu isu, malah kadang-kadang ia sangat berlebihan.

Saya selalu sematkan dalam fikirkan, kita semua manusia biasa, tak boleh lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan kerana kita bukannya sempurna.

Dunia ini berputar. Kadang di atas, kadang di bawah. Mungkin satu hari nanti, kita akan diuji dan pastinya kita mengharapkan sokongan tanpa berbelah bahagi, bukan kata-kata nista yang menyakitkan hati.

Jadi, janganlah cepat menghukum. Setiap apa yang terjadi ada hikmahnya, bukan sahaja untuk mereka, tetapi untuk kita.

Saya akui, saya juga tidak lari daripada melakukan kesilapan namun ada baiknya jika saya tidak cepat menghukum.

Kredit foto: Vecteezy, Instagram Elfira Loy

Padin