Hiburkan 2,000 Peminat Malaysia Jadi Hadiah Ulang Tahun Bermakna Nadin Amizah

Penyanyi Indonesia Nadin Amizah berjaya memukau kira-kira 2,000 peminat yang hadir di Konsert Selamat Ulang Tahun dan Kisah Lainnya, Sabtu lalu.

Sesuai dengan tajuk konsert sulungnya, sokongan dan kehadiran penonton sekali gus menjadikan acara tersebut sebagai hadiah ulang tahun yang bermakna buat penyanyi yang baru berusia 23 tahun itu.

Nadin yang terkenal menerusi lagu bergenre pop dan folk itu telah menawan hati peminatnya dengan membawakan 18 buah lagu selama dua jam konsert itu berlangsung.

Antara lagu yang dibawakan ketika konsert tersebut seperti Sebuah Tarian Yang Tak Kunjung Selesai, Hormat Kepada Angin, Seperti Takdir Kita Yang Tulis, Menangis Di Jalan Pulang, Dan Selesai, Sorai, Beranjak Dewasa, Rumpang dan banyak lagi.

“Ini pertama kali saya membawakan 18 lagu dan saya tak pernah menyanyikan sebanyak ini. Dan saya sedar rupanya ia sangat penat ya. Jadi saya memerlukan stamina yang sangat banyak supaya tidak penat ketika konsert nanti,” katanya.

Tampil dengan kelainan yang unik, penyanyi yang berbakat besar itu juga mengetengahkan konsep semi theatrical di segmen kedua konsert tersebut.

Malah, Nadin turut membawakan ibunya, Intan Gurnita menjadi salah seorang pelakon ketika menyanyikan lagu Bertaut.

Lebih menarik lagi, penyanyi itu juga berjaya membuat seluruh penonton yang hadir turut bernyanyi bersama dan memeriahkan panggung Zepp Kuala Lumpur itu.

Terdahulu, Nadin mengatakan dirinya tidak kesal masa remajanya diragut  oleh populariti sebaliknya menganggap segala kejayaannya kini adalah rezeki dan keistimewaan buat dirinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Miliki 1.3 Juta Followers, Nadin Amizah Tidak Rasa Zaman Muda Sia-Sia – “Lebih Banyak Berkat Dan Rezekinya…”

Kreadit Foto: @artherockshow @brstmode

Fatin Nurain