Hospital Bahagia Sahkan Yasin Sulaiman Tidak Waras Ketika Kejadian Kes Dadah

Penyanyi Yasin Sulaiman disahkan menghidap penyakit bipolar disorder dan hyperthyroidism oleh Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak.

Memetik laporan Sinar Harian, Yasin juga disahkan tidak waras ketika melakukan kesalahan kes dadah, pada Mac lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Muhamad Amin memaklumkan perkara itu ketika membaca laporan hospital berhubung keadaan mental Yasin semasa prosiding kes di hadapan Hakim, Nik Nasimah Nik Mohammad.

Menurutnya lagi, terdapat tiga kesimpulan bahawa tertuduh menghidap penyakit kecelarusan efektif atau bipolar disorder dan hyperthyroidism.

“Tertuduh didapati tidak waras ketika kejadian namun kini, keadaan mentalnya bertambah baik, maka dia layak untuk dibicarakan serta mampu untuk membela diri.

“Ini merupakan perkembangan baharu, jadi saya mohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan kes, bagi mendapatkan arahan baru daripada Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya.

Sementara itu, peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Yasin memberitahu pihak pembelaan percaya perbicaraan kes boleh diteruskan seperti mana yang ditetapkan ketika prosiding lalu.

“Kami juga memohon suatu perintah dapat dikeluarkan iaitu pesakit ini dihantar semula ke hospital untuk diubati sehingga disahkan sihat oleh pihak perubatan.

“Kami tidak membantah permohonan pasukan pendakwaan untuk mendapatkan arahan AGC tetapi bagi menjimatkan masa, kami cadang tarikh perbicaraan ditetapkan,” jelasnya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Nik Nasimah menetapkan sebutan kes pada 9 Ogos depan manakala perbicaraan kes 28 dan 29 pada bulan yang sama.

Dalam prosiding 8 Mei lalu, Nik Nasimah memerintah pelantun lagu ‘Mimpi Laila’ dihantar ke hospital bahagia selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan tertuduh mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Maya Basir