Hujan, Bunkface, Insomniacks & Masdo Bakal ‘Menggila’ Di Konsert Jiwa Kacau!

Empat kugiran iaitu Hujan, Bunkface, Insomniacks dan Masdo bakal beraksi di atas satu pentas sekali gus membuat jiwa-jiwa kalian kacau di Konsert Jiwa Kacau yang akan berlangsung pada 17 Jun 2023 di Stadium Malawati Shah Alam.

Buat julung kalinya, MND Sport & Event Sdn Bhd berbesar hati menganjurkan konsert yang menampilkan empat kugiran hebat dan lagu-lagu yang bukan asing menjadi halwa telinga.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MND Sport & Event, Harith Daniel menyifatkan Hujan, Bunkface, Insomniacks dan Masdo sebagai kugiran yang tidak pernah akan ditelan zaman. 

Malah, Harith percaya Konsert Jiwa Kacau akan membuatkan peminat mereka ‘gila’.

“Tidak boleh dinafikan, Hujan dan Bunkface adalah dua anak-anak indie yang memecah tembok komersial dengan kualiti mereka sehingga menjadi legenda dalam scene Indie di Malaysia.

“Insomniacks dan Masdo pula merupakan salah satu kugiran pop dan rock yang meraih pengaruh paling pantas dalam kalangan generasi muda lewat keunikan genre yang dimainkan.

“Jadi apabila keempat-empat kugiran yang penuh dengan hit dan jalan tersendiri ini bergabung, pihak kami percaya peminat akan naik ‘gila’.

“Dan harapan kami agar konsert ini memberi impak yang besar selain mencipta gelombang baru untuk industri muzik Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Bunkface menyifatkan Konsert Jiwa Kacau sebagai sebuah lamaran ‘gila’ yang datang tepat waktu dan tidak patut dilepaskan.

“Beritahu kami siapa yang sanggup lepaskan peluang ‘berperang’ dan berpesta dengan Hujan, Insomniacks dan Masdo? Mereka semua ‘gila’!

“Dan Konsert Jiwa Kacau sebenarnya menjadi sebuah penghormatan buat kami bagaimana karya pemuzik lokal seperti kami diiktiraf dan terus disokong untuk memartabatkan industri muzik kita,” ujar Youk selaku wakil Bunkface.

Bagi Imsomniacks pula, berkongsi pentas dengan tiga legenda muzik tempatan adalah mimpi yang menjadi realiti.

“Sebagai pemuzik paling junior dalam kelompok konsert ini, Insomniacks berasa sangat kecil tetapi berbesar hati kerana dipilih melengkapkan formasi panggung bersama Hujan, Bunkface dan Masdo yang terlebih dahulu merintis jalan untuk pemuzik seperti kami hidup dalam industri,” kata Insomniacks.

Buat semua peminat, tiket Konsert Jiwa Kacau bermula dengan CAT 3 (RM 75), CAT 2 & General (RM 165), CAT 1
(RM 235), VIP (RM 255) dan Meet & Greet Pass (RM 488) mula dijual pada Jumaat, 24 Mac 2023 melalui www.myticket.asia.

Maya Basir