Penonton Puas ‘Bergalau’ Di Konsert Nidji x Budi Doremi!

Konsert kolaborasi kumpulan dan penyanyi dari Indonesia iaitu Nidji dan Budi Doremi yang dibawakan oleh Dream Festival yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada Ahad lalu mendapat sambutan baik peminat.

Suasana malam itu dimeriahkan lagi dengan persembahan pembukaan oleh penyanyi Aisha Retno yang membawakan lagu Sang Dewi oleh Loydra, Andi Rianto dan Sial oleh Mahalini.

Karakter Aisha yang bertenaga di atas pentas menaikkan lagi semangat penonton pada malam itu.

Kemudian, persembahan dimulakan dengan Budi Doremi yang membawakan sembilan buah lagu dan satu lagu berduet bersama Nidji iaitu lagu Doremi.

Antara lagu hits yang dinyanyikan oleh Budi ialah Melukis Senja, Mesin Waktu dan Tak Kan Hilang turut kedengaran suara penonton menyanyi bersamanya.

Konsert diteruskan lagi dengan penampilan Nidji yang mendapat sorakkan kuat daripada peminat yang hadir.

Nidji membawakan sebelas buah lagu antaranya Laskar Pelangi, Sumpah Cinta Mati dan kegemaran penonton iaitu Hapus Aku.

Lagu-lagu yang dibawakan oleh mereka membuatkan penonton menari dan turut menyanyi bersama.

Penampilan khas pelakon daripada filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck iaitu watak Bang Muluk dan juga pemain keyboard Nidji mengungkapkan dialog daripada filem itu juga antara momen yang terus diingati peminat.

Maya Basir