Ibarat Sirih Pulang Ke Gagang, Dira Abu Zahar Dah Siap Sedia!

Dah lama rasanya tak nampak pelakon jelita Dira Abu Zahar beraksi di kaca televisyen. Filem Kimchi Untuk Awak merupakan filem terakhirnya dan selepas itu dia lebih selesa bekerja di balik tabir.  

Dalam masa sama, wanita berusia 34 tahun ini turut memegang jawatan sebagai Exco Puteri UMNO.

Dira ketika ditemui memaklumkan dirinya lebih selesa dalam dunia baru yang diceburinya sejak empat tahun lepas.

“ Kalau nak diikutkan bukanlah sesuatu yang baru memandangkan saya dilahirkan dalam keluarga politik. Ibarat Sirih Pulang Ke Gagang, penglibatan dalam arena politik juga ibarat penghormatan terbesar bagi diri sendiri.

“ Pekerjaan ini seolah-olah menyambung legasi arwah bapa dalam membantu rakyat yang memerlukan,” katanya yang menafikan dirinya merajuk terhadap dunia seni.

Dalam masa sama, Dira turut mempraktikkan cara pendekatan yang pernah dilakukan oleh arwah bapa ketika mendekati masyarakat.

“ Sejak kecil lagi saya mendapat pendedahan menyelami rintihan rakyat yang memerlukan bantuan. Arwah bapa seorang yang sangat jujur dan telus ketika bekerja.

“ Kalau boleh saya mahu ikut cara beliau yang amat mengambil tahu kesusahan rakyat dan bagaimana beliau mendidik anak muda agar lebih berketerampilan,” katanya kepada xtra.com.my.

Bercakap mengenai persiapan pilihan raya ke-14, anak bongsu kepada bekas ketua menteri Melaka, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Isnin ini sedang sibuk melakukan persiapan.

Ketika diusik sama ada Dira bakal bergelar calon pada PRU kali ini, jawapannya, “ Kita tengok macam mana,” sambil diselangi gelak tawa. Tak apa Dira. Kalau betul, apa salahnya kan? Hehe…

Dalam masa sama, pemenang Pengarah Terbaik di Anugerah Kasih Tribute P.Ramlee 2017 ini juga sedang sibuk menguruskan perniagaan permotoran dan restoran di ibu-kota. Semoga terus sukses, Dira!

SGMS Faida