Individu Serang Kamal Adli Direman 2 Minggu Jalani Penilaian Psikiatri

Individu yang menyerang pelakon, Kamal Adli dalam sebuah acara di Singapura sehingga mendatangkan kecederaan serius didakwa di mahkamah Singapura hari ini.

Memetik laporan Sinar Harian, tertuduh akan direman di Institut Kesihatan Mental selama dua minggu bagi menjalani penilaian psikiatri.

Hakim Daerah, Terence Tay bersetuju dengan permohonan pendakwa raya menahan tertuduh bagi melakukan pemeriksaan kesihatan.

Tay berkata bahawa sebutan semula kes itu akan dibuat pada 28 Mac.

Lelaki berusia 33 tahun itu didakwa di Mahkamah Negeri di sini pada Selasa (14 Mac) kerana ‘terlibat dalam kes menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.’

“Jika sabit kesalahan, kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan, atau mana-mana kombinasi hukuman itu,” menurut SPF dalam kenyataan

Polis telah merampas cota berkenaan untuk dijadikan bahan bukti dan siasatan sedang dijalankan.

Terdahulu, isteri Kamal, pelakon Uqasha Senrose turut memaklumkan suaminya akan menjalani pembedahan kerana luka yang besar dan panjang di bahagian kepalanya.

Sumber: Sinar Harian

Khairil Khusyairi