Isteri Tidak Lagi Bertudung, Ini Jawapan Ikhlas Nabil Ahmad

Sekitar Ogos lalu, isteri kepada pelawak dan pengacara terkenal, Nabil Ahmad, Zira Ayub dilihat mengenakan penampilan bertudung.

Rata-rata peminat memuji kecantikan Zira yang manis ketika berhijab.

Baru-baru ini, gambar Zira telah dimuatnaik di laman Instagram namun tidak lagi mengenakan hijab sekaligus menimbulkan persoalan di kalangan netizen.

Sebagai suami, Nabil tidak pernah mendesak dengan keputusan isterinya itu.

“ Saya sentiasa doakan Zira untuk ikhlas ketika berhijab. Setiap hari saya doakan ikhlas itu hadir. Saya dah rujuk kepada beberapa ustaz dan kata mereka, kerja saya sebagai suami adalah untuk memberitahunya mengenai kewajipan menutup aurat.

“ Namun begitu, satu tahap bila dah nasihat…itu terpulang kepada dia untuk menjalankan tanggungjawab,” katanya.

Nabil memberitahu dia tidak mahu terlalu memaksa isterinya kekal berhijab kerana kalau boleh biarlah keikhlasan itu datang sendiri.

“ Kalau paksa sangat pun, saya rasa tak kena juga sebab kalau boleh, biarlah dia sendiri yang ikhlas untuk berhijab.

“ Kalau suatu hari nanti, isteri saya bertudung, biarlah dia kekal istiqamah dengan kewajipan itu. Saya tidak mahu hatinya nanti jadi berbelah-bahagi. Saya juga enggan melihat dia mengenakan tudung kerana terpaksa tetapi kemudian, membukanya kerana berasakan belum bersedia,” katanya.- HM

SGMS Faida