Izzue Islam Tak Mahu Tangguh Lagi, Bakal Jalani Ujian Kesuburan

Pelakon Izzue Islam memaklumkan sudah merancang berjumpa doktor bagi menjalani ujian kesuburan pada tahun ini.

Suami kepada Awin Nurin memberitahu dia menyasarkan dalam tempoh terdekat namun dengan jadual kerja padat, ia membantutkan hasratnya mengenal pasti masalah berhubung soal zuriat.

“Umur pun semakin meningkat, jadi lebih wajar kenal pasti siapa yang bermasalah untuk mencari penyelesaian. Sebenarnya, dari awal tahun lagi.

“Namun, saya ingin mencuri masa kerana enggan menangguhkan lagi perkara ini. Memandangkan Awin juga turut berperanan sebagai pengurus, saya ingin berbincang dengannya bagi mengosongkan jadual kerja dalam tahun ini juga.

“Tidak salah untuk berikhtiar, dari aspek moden mahu pun tradisional. Siapa yang tidak mahu anak? Cuma rezeki untuk menimang cahaya mata itu belum berpihak kepada kami lagi,” katanya kepada Xtra.

Izzue yang juga bekas anggota kumpulan Forteen, mendirikan rumah tangga dengan Awin pada 2 Jun 2013.

Pelakon drama 30 Pesanan Suara itu mengulas mengenai soal cahaya mata ketika ditemui di majlis sidang media Konsert Hora Horey siri animasi kanak-kanak popular, Didi & Friends yang bakal diadakan bermula 15 sehingga 18 Ogos depan.

Baru-baru ini, perkongsian Izzue dan Awin yang memuat naik foto bersama seorang bayi di laman sosial, mengundang reaksi banyak pihak. Selain peminat, teman-teman selebriti mendoakan pasangan itu beroleh rezeki memiliki cahaya mata.

Kita doa yang terbaik bagi pasangan ini ya!

Oleh: Zaara Talita

SGMS Enal