‘Jangan Samakan Saya Dengan Usop’- Heedan Mohamad

Bakat yang dicungkil menerusi laman Youtube, penyanyi remaja Heedan Mohamad berharap pendengar tidak terus membandingkan dirinya dengan penyanyi Usop.

Kata remaja berusia 18 tahun ini, wajah dan suaranya sering disamakan dengan pelantun Aku Yang Bersalah itu.

“Kalau boleh saya tidak mahu terus disamakan dengan Usop. Malah ada yang kata wajah saya mirip dengan penyanyi Hazama.

“Saya kagum dengan bakat kedua penyanyi tetapi kalau boleh saya tidak mahu dikenali sebagai klon Usop atau Hazama. Saya ada bakat tersendiri yang mahu dipersembahkan dan tidak mahu dianggap cuba tumpang populariti penyanyi lain,”katanya kepada Xtra.

Dalam pada itu, Heedan nekad mengorak langkah sebagai penyanyi dengan mengambil keputusan bergelar artis rakaman sulung di bawah label Awal Muzik Entertainment.

Tampil dengan single berjudul Yang Terakhir ciptaan komposer muda Danish dan Knight Cydeen, Heedan berharap agar ‘buah tangan’ terbaharu ini menepati selera pendengar tanah air.

“Besar harapan saya agar pendengar suka dengan lagu ini kerana secara peribadi lagu ini amat menyentuh perasaan saya sendiri sebagai penyanyi,”ujar remaja kelahiran Ampang ini.

SGMS Faida