Jeongyeon TWICE Mendedahkan Agensi Tolak Tawaran Untuk Dirinya Berlakon

Selain berkebolehan menari dan melakukan persembahan di atas pentas, peminat kumpulan K-Pop popular TWICE juga pastinya teringin melihat ahli kumpulan itu berlakon dalam drama.

Namun, harapan mereka untuk melihat lakonan ahli kumpulan TWICE mungkin tidak kesampaian dengan pendedahan yang dibuat oleh salah seorang ahli kumpulan itu iaitu Jeongyeon.

Dalam satu siaran langsung di perkhidmatan penstriman video V Live baru-baru ini, Jungyeon, 21, memberitahu dia pernah ditawarkan berlakon sebagai penampilan khas dalam sebuah drama.

Tetapi, syarikat agensinya, JYP Entertainment telah menolak tawaran tersebut.

Jeongyeon juga memaklumkan bahawa dia sebelum ini ada mendapat tawaran berlakon untuk beberapa drama termasuk drama yang dibintangi kakaknya, Gong Seung Yeon tetapi semua tawaran itu ditolak oleh agensinya.

“Saya menerima beberapa tawaran tetapi syarikat menghalang,” kata Jeongyeon.

Ramai peminatnya kecewa dengan maklumat itu dan ada yang meluahkan rasa marah dengan JYP Entertainment kerana tidak membenarkan artis mereka melebarkan bakat dalam bidang lakonan.

Sebelum ini, JYP Entertainment dikecam peminat Jeongyeon kerana tidak menyertakan Jeongyeon di dalam aktiviti hujung tahun TWICE.

Sebagai tanda maaf, JYP Entertainment melakukan rakaman semula beberapa babak untuk ‘teaser’ muzik video berjudul ‘Doughnut’ versi Jepun yang menampilkan Jeongyeon.

Sumber: Allkpop dan Meaww

Arfah