“Kalau Dia Ada, Drama Saya Mungkin Tiada Rating” – A Aida Tak Mahu Ambil Hafidz Roshdi Berlakon

Penerbit Datuk A Aida, 52, tidak akan menyenaraikan aktor sensasi, Hafidz Roshdi, 29, sebagai pelakon yang akan membintangi drama atau filem terbitan A Aida Production selepas ini.

Keputusan pemilik nama sebenarnya Zaidah Awang itu berikutan tindakan Hafidz yang mengasari isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, sehingga menyebabkan 10 jahitan di wajahnya.

“Apa yang dilakukan oleh Hafidz menimbulkan kemarahan masyarakat. Kalau saya ambil dia, saya gusar ia akan memberikan kesan pada tayangan drama atau filem terbitan saya.

“Semestinya ia akan membuat penonton kemungkinan akan sama-sama beremosi. Jadi ia tak bagus untuk produksi saya kalau perkara itu terjadi. Untuk isu seperti ini, memang saya tidak akan ambil pelakon seperti dia.

“Kalau dia ada, drama saya mungkin tiada rating. Ia salah satu kemungkinan saja, sama ada drama itu meletup ataupun kena kecam. Disebabkan itu saya memang elakkan,” katanya.

Walaubagaimanapun, menurut penerbit filem Ratu Kala Jengking ini, ia bergantung kepada keadaan semasa.

Sekiranya Hafidz sudah menyesal dengan perbuatannya dan berunah, mungkin dia boleh kembali menerima aktor itu membintangi naskhah terbitan A Aida Production.

“Jika dia menyesali perbuatan serta menunjukkan sikap positif, saya akan ambil dia berlakon di masa akan datang. Seperti contoh sekarang ini, Ismail Izzani sedang menjayakan penggambaran bersama produksi saya.

“Ismail seorang pelakon yang bagus, dia setiap hari datang ke lokasi penggambaran tepat pada waktunya. Dia tiada masalah dan dia sanggup belajar. Seperti tugas untuk menghafal bahasa isyarat, kita panggil guru untuk dia belajar dan dia cepat tangkap.

“Sejujurnya, saya langsung tiada masalah mengambil dia berlakon biarpun dia terpalit dengan isu kaki clubbing dan sebagainya. Itu masalah berkaitan peribadi dan berkaitan dengan diri sendiri.

“Tapi kalau masalah yang ditimbulkan itu melibatkan orang lain seperti mengasari wanita dan menyentuh rasa kurang senang orang ramai, saya memang tak akan ambil dia berlakon,” katanya.

Dalam perkembangan lain, A Aida berkata produksinya sekarang sedang giat menjayakan penggambaran untuk saluran Salam HD.

“Saya adalah penyedia kandungan yang ditanggungjawabkan oleh TM untuk mengendalikan saluran Islamik di Unifi TV iaitu Salam HD.

“Saya yang buat semuanya, jadi dalam sebulan kami menjayakan penggambaran untuk lima hingga enam judul. Kini, saya sedang sibuk menjalani penggambaran game show Cuba Teka yang bakal bersiaran tidak lama lagi.

“Untuk stesen luar saya buat dengan TV3 sahaja seperti untuk slot Akasia, nak buat lebih-lebih sudah tak boleh sebab sibuk dengan Salam HD,” katanya.

Padin