‘Kalau Nak Curang Tak Perlu Tunggu Duduk Jauh’- Dayah Bakar Kongsi Tips Rumah Tangga!

Hampir setahun berkahwin dengan pegawai tentera, Dayah Bakar sejak awal sudah bersiap sedia dengan segala kemungkinan termasuk situasi suami yang kerap berpindah.

Kata pengacara Borak Kopitiam ini, dia dan suami tidak berdepan dengan masalah meskipun sudah setahun tinggal berjauhan.

“ Sebelum ini ramai pengikut saya yang bertanya bagaimana mengendali rumah tangga jarak jauh seperti mana saya lalui sekarang.

“ Jujur saya katakan, jarak itu membuatkan saya lebih rindu dan sayang kelada suami. Ramai juga yang tanya pada saya tidak risau ke suami duduk jauh di Johor, saya di Kuala Lumpur.

“ Bercakap pasal kesetiaan, jarak bukan penyebab ia ‘terusik’. Kalau pasangan itu memang jenis penipu, tak perlu tunggu waktu berjauhan. Kadang-kadang depan mata pun pasangan boleh buat,” katanya kepada XTRA.

Dayah yang berkahwin pada 29 Jun tahun lalu turut meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan seorang suami yang penyayang dan memahami.

“ Biarpun berbeza bidang, dia sangat faham dengan kerjaya saya. Suami merupakan penyokong nombor satu saya dalam karier seni. Komunikasi amat penting dalam perkahwinan. Ala jua aktiviti saya atau suami, kami akan beritahu di mana, buat apa dan bersama siapa.

“ Saya hormat dengan pekerjaanya yang memerlukan dia ada kala berada di dalam hutan berminggu lamanya. Saya faham dia berkhidmat untuk negara. Sebagai seorang isteri, saya selalu mendoakan keselamatannya walau di mana jua dia berada,” akhiri Dayah.

Dayah atau nama penuhnya Nur Hidayah Abu Bakar pernah tampil dengan single Imamku yang ditujukan khas buat suaminya, Muhammad Hanif Hamidi.

SGMS Faida